Zamani jalani pembedahan tulang belakang Nov ini
Tidak dapat bertahan untuk mengalami kesakitan sepanjang masa akibat masalah tulang belakang bengkok, Zamani Ibrahim berkata, dia bakal menjalani pembedahan untuk mengatasi isu itu selewat-lewatnya Nov depan.
Walaupun pembedahan merupakan jalan terakhir buat Zamani yang mengidap skoliosis, dia mengakui tidak mempunyai pilihan lain memandangkan kesihatannya kini semakin merudum.
“Kesihatan saya masa ni berada di tahap teruk sebab tulang dah mencucuk tulang lain dan menghimpit jantung, maka memang saya memerlukan pembedahan.
"Sakit dialami pula berlaku setiap masa, tapi waktu malam yang paling sakit.
“Nak tidur badan akan jadi kejang dan terpaksa bergantung pada ubat tahan sakit. Memang tak ada ubat lain,” jelasnya.
Ditanya peluang untuk sembuh, Zamani berkata pihak hospital setakat ini memberi jaminan yang tinggi.
Sebelum ini, kata penyanyi Slam itu, dia dimaklumkan peluang untuk sembuh memang tidak ada, namun kemudian didapati maklumat berkenaan tidak tepat.
“Selepas saya buat semua ujian imbasan, rawatan neurologi, doktor kemudian maklumkan peluang nak sembuh tinggi.
“Bagaimanapun, untuk kembali 100 peratus normal itu tak mungkin sebab penyakit ni dah terlalu lama,” katanya pada sidang media pengumuman Rhythm of Legends Live in Concert di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.
Harapkan doa yang terbaik
Konsert anjuran CS Exellent dengan kerjasama NGO Drug Free Malaysia itu tampil dengan persembahan amal yang dijadual berlangsung di Dewan Plenary KLCC pada 29 dan 30 Okt ini.
Selain Zamani, konsert itu turut menampilkan penyanyi seperti Hattan, Asmidar, Rojer Kajol, One Nation Emcees dan Mawi.
Kata Zamani dia sekarang sedang mempertimbangkan pilihan pada dua hospital pakar tulang belakang yang ada.
Zamani turut memaklumkan prosedur itu dijangka memakan tempoh lapan hingga ke 10 jam.
“Dianggarkan kos lebih RM100,000. Untuk pusat perubatan di Ampang, anggarannya dalam RM80,000 hingga ke RM100,000 manakala satu lagi murah sikit,” katanya.
Tambah Zamani, selepas Rhythm of Legends Live in Concert dan sebelum pembedahan, dia merancang untuk mengadakan sebuah konsert khas, iaitu Doa Buat Zamani.
Katanya, konsert itu diadakan kerana dia berhasrat untuk bertemu peminat selain mencari dana sampingan buat kos perubatannya.
“Kuasa Allah kita tak tahu. Jadi saya berharap dapat bertemu peminat sebelum melakukan pembedahan besar tu.
“Saya nak kumpulkan peminat agar mereka dapat doakan yang terbaik untuk saya jalani pembedahan ni selain mencari dana sampingan,” katanya yang akan mengumumkan tarikh dan lokasi konsert itu kelak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai