Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Vida tertanya-tanya kenapa Iqbal tak kahwin lagi

Usahawan terkenal, Vida, mengakui hatinya berdebar-debar selepas terserempak dengan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli, di set penggambaran semalam.

Mengenangkan perancangan perkahwinan mereka yang tidak kesampaian sebelum ini, Vida berkata, dia secara spontan timbul tanda tanya kepadanya.

“Dia dah nampak matang sikit sekarang, tapi saya tertanya-tanya: kenapa dia tak kahwin-kahwin, dia menunggu (saya) ke?” soalnya.

Walaupun pernah terpalit kontroversi bersama Iqbal, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, berkata dia tetap meneruskan penggambaran ketika itu atas dasar profesional.

Pada masa sama Vida juga menganggap pihak produksi 'pandai' apabila mengatur pertemuan itu tanpa pengetahuannya.

“Tiba-tiba boleh ada Iqbal sekali di lokasi sama... takkan saya nak balik pula.

“Saya kenalah jadi profesional, tak mahu hampakan produksi, jadi saya kena hadap dia (habiskan penggambaran),” jelasnya.

Vida berkata demikian pada sidang media pelancaran drama bersiri Demi di sebuah hotel di ibu kota hari ini.

Pengusaha kosmetik itu hadir sebagai memenuhi jemputan untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, yang kemudian merasmikan majlis tersebut.

Kata Vida, 50, memang ada ketikanya keadaan dirasakan sedikit janggal apabila dia dan Iqbal berbual di lokasi penggambaran tersebut. Namun, katanya, memang agak janggal untuk mereka berbual.

“Tak dan nak main-main mata atau berbual. Saya bawa watak sebagai guru besar. Cuma skrip tak ada, ia lakonan spontan saja,” katanya.

Sementara itu, Iqbal ketika dihubungi berkata, sudah setahun dia dan Vida tidak berkomunikasi ekoran isu yang timbul antara mereka sebelum ini.

Ditanya mengenai komen Vida, Iqbal, 27, berkata dia sudah melupakan kisah yang berlaku antara dia dan bekas majikannya itu.

“Kami tak berbual pun di set tu sebab bila dah mendalami watak, saya hanya fokus pada kerja.

“Cuma saya terfikir juga mengapa Vida tak tahu mengenai kehadiran saya sedangkan produknya dipromosi dalam filem berkenaan.

“Tapi jika ditanya soal perasaannya yang berdebar- debar, saya nak tahu apa punca dia jadi begitu apabila melihat saya?” katanya.

Mengulas mengenai jodoh, Iqbal berkata, dia tidak memikirkan soal pengganti buat masa ini malah tidak meletakkan sebarang kriteria tertentu buat wanita pilihannya.

Menurut Iqbal, dia cuma berharap bakal isterinya nanti bukan seorang yang 'kuat drama' selain penting untuk selalu mempermudahkan urusannya.

“Bukan tak ada yang cuba mendekati, cuma untuk memiliki hati saya bukan semudah itu," katanya.