Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahirine akui rasa takut-takut nak jadi 'buah hati' Hattan

Pelakon baru, Ahirine Ahirudin, sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan sekiranya lakonan dalam Gadis Jolobu The Movie tidak seperti diharapkan.

Ahirine mengakui walaupun berasal dari Lubuk Cina, Melaka - dan keluarganya biasa bertutur loghat Negeri Sembilan - kebimbangannya tetap wujud sekiranya bahasa Minangkabau yang dilontarkan kedengaran janggal.

Namun, untuk pergi lebih jauh dalam bidang diceburi, pelakon itu berkata, dia bersungguh-sungguh menyahut cabaran membawakan watak sebagai Jijah dalam naskhah arahan CL Hor berkenaan.

“Memang berdebar masa mula-mula nak lakonkan watak Jijah, sampai perlu mendengar lagu-lagu yang mempunyai lirik Negeri Sembilan, untuk dapatkan lebih feel.

“Tapi saya sedia terima kritikan, penonton berhak memberi pandangan dan dari situ saya akan cuba perbaiki kelemahan yang ada,” jelasnya.

Ahirine juga menyatakan kesanggupannya untuk menerima tawaran baru yang memerlukannya menuturkan sebarang dialek tempatan.

Kata bekas wartawan penyiaran Hlive itu yang terlebih dulu berjinak-jinak dalam dunia lakonan sebagai pelakon aksi lagak ngeri, dia memang seorang yang sukakan cabaran.

“Memang akan jadi susah, tapi saya anggap ia cabaran yang tak boleh dilepaskan begitu saja,” tambahnya ketika ditemui selepas majlis pratonton Gadis Jolobu The Movie di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem turut dijayakan Hattan, Joey Daud dan Khir Rahman itu sedang ditayangkan di pawagam seluruh tanah air.

Mengulas berlakon dengan bergandingan yang aktor lebih berusia, iaitu Hattan, Ahirine berkata, dia sebenarnya takut dengan personaliti dimiliki penyanyi Biso Bonar itu.

Menurutnya, Hattan seolah-olah memiliki wajah seorang lelaki yang garang jika dilihat hanya melalui media sosial.

“Saya sebenarnya takut dengan Hattan sebab bagi saya, dia seorang legend dan otai dalam industri.

“Jika di media sosial boleh nampak garangnya itu, tapi apabila bersemuka dengannya, saya dapati Hattan sebenarnya seorang yang sangat kelakar.

“Dia juga banyak membantu saya untuk memahirkan diri dengan skrip dan juga lakonan,” katanya.