Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lepas gosip bernikah lagi, kini Laudya umum tinggalkan dunia seni

Selepas tercetusnya desas-desus mengaitkannya dengan gelaran isteri kepada seorang lelaki Dubai, Laudya Cynthia Bella kini mengumumkan pula persaraannya dari dunia seni.

Dalam satu kenyataan, Laudya memaklumkan, dia sudah lama merancang untuk bersara dan memohon peminat terus mendoakan agar dia berjaya dalam kehidupan.

“Doakan saya. Insya-Allah, tiada filem lagi selepas ni. Semoga istiqamah dan filem terakhir saya adalah Buya Hamka.

“Memang saya sudah pasang niat, tapi manusia itu lemah. Semoga Allah membantu.

“Saya ingin berjaya di dunia dan akhirat. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan lalui selepas ini,” katanya yang dipetik serambinews.com.

Menurut Laudya, 34, Buya Hamka dijadual menjengah pawagam pada tahun depan.

Pelakon Syurga Yang Tak Dirindukan itu pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan tempatan, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2017 tetapi mereka bercerai tiga tahun kemudian.

Sementara itu pengurus Laudya, Rita, dalam satu kenyataan sebelum ini menafikan pelakon itu sudah bernikah sekali lagi.

Penafian itu dibuat susulan tularnya sebuah video di media sosial baru-baru ini.

“Mohon maaf, berita tu tak benar. Semoga kita semua terhindar daripada fitnah ya. Barakallahu fik,” katanya.