Bad Indigo enggan susahkan sesiapa walau uzur, berstatus OKU
Walaupun kini bersendirian dan berstatus orang kelainan upaya (OKU), anggota kumpulan Indigo, Bad, mengakui dia selesa dengan kehidupannya kerana tidak menyusahkan sesiapa termasuk ibu sendiri.
Kata Bad, ibunya yang kini berusia 73 tahun ada menawarkan diri untuk tinggal bersama-sama selepas dia bercerai dengan Ashira Aziz, namun permintaan itu ditolak dengan baik.
Alasan pemilik nama sebenar Badrul Izhan Yeop Abdullah itu ialah kerana mereka masing-masing perlu bergantung pada kerusi roda.
“Saya tak nak menyusahkan sesiapa tu sebab saya rela tinggal seorang diri. Dia (ibu) pun pakai kerusi roda, umur pula dah 73 tahun.
“Sekarang mak saya menetap bersama kakak. Jadi, saya rasa dia lebih memerlukan perhatian berbanding saya,” ujarnya.
Bad, 46, berkata walaupun berstatus OKU, dia perlu menunjukkan dirinya kuat di mata seorang ibu supaya orang tuanya itu tidak berasa bimbang dengan keadaannya sekarang.
Baginya, selagi ada kudrat, dia akan melakukan semua perkara dengan keupayaan yang ada.
“Bukan saya tak mahu terima bantuan, sekiranya ada, saya terima. Tapi jika saya boleh buat sendiri saya buat.
“Apabila perlu ke hospital misalnya, saya akan menempah Grab. Tapi untuk menukar balutan luka (dressing), saya memandu sendiri.
“Tak nak mak asyik fikir yang saya tak berdaya. Seboleh-bolehnya, saya nak dia berasa tenang walaupun melihat keadaan saya begini,” jelasnya yang ditemui baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Bad menerima sumbangan kerusi roda elektrik pada 20 April lalu. Dia sebelum itu menjalani prosedur memotong semua jari kaki kiri akibat kencing manis sejak Mac tahun lalu.
Penyanyi itu kemudian mengumumkan dia sudah bercerai daripada Ashira pada 23 Jun lalu dan ia berlangsung secara baik, malah mereka berikrar untuk kekal sebagai kawan.
Walaupun masih mengunci mulut mengenai alasan perceraiannya, Bad menafikan Ashira yang juga penyanyi itu enggan hidup bersusah-payah dengannya sejak dia jatuh sakit.
Bahkan, kata Bad, semasa masih suami isteri, Ashira selalu mahu menolongnya sama ada di rumah atau di luar, termasuk menghantar ke hospital.
"Saya saja yang tak mahu susahkan dia,” kongsinya.
Meskipun dirinya kini terkekang oleh keadaan, Bad berkata, pada masa sama ada banyak kelebihan dan hikmah yang tidak hadir daripada keadaan tersebut.
Misalnya, kata Bad, ramai rakan yang tampul mengambil berat perihal dirinya kerana mereka bimbang dia mengalami kemurungan atau tekanan perasaan.
“Saya tak rasa sedih pun, sebaliknya dah bersedia. Apa saja berserah pada Allah.
“Allah tak pernah kejam, kalau jadi begini, mesti ada hikmah yang dia nak berikan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai