Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suntik karakter ala Bujang Lapok dalam Gadis Jolobu, Hattan 'rindu' P Ramlee

Selain mengetengahkan keunikan adat dan budaya Minangkabau dan Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie juga menyuntik pengaruh karakter tiga bujang terlajak ala-ala filem legenda, Bujang Lapok.

Pelakon dan penyanyi Hattan berkata demikian apabila mengulas jarak usianya yang jauh berbeza dengan Ahirine Ahirudin yang dipilih menjayakan watak Jijah dalam filem berkenaan.

“Bagi saya, tak ada masalah sekiranya saya dipilih jayakan watak Atan yang berusia 45 tahun tapi tak kahwin-kahwin. Ramai saja artis berusia berkahwin dengan orang lebih muda.

“Jika tak bujang lapuk (tua) takkan jadi bertambah muda pula.

“Sebenarnya saya sengaja selitkan unsur-unsur seperti filem Bujang Lapok dijayakan Allahyarham P Ramlee sebab rindu tengok lakonannya,” jelas Hattan.

Penyanyi Kepadamu Kekasih itu berkata, konsep sebegitu amat bersesuaian dengan filem genre komedi romantik yang diketengahkan dalam Gadis Jolobu The Movie.

“Ini ialah filem untuk orang yang malas berfikir, santai-santai saja itulah idea yang saya bagi pada penerbit dan pengarah.

“Apabila sampai di tangan CL Hor, pengarah itu mengolahnya dan menjadikan karya itu lebih komersial mengikut kesesuaian pasaran tempatan kita,” katanya.

Ambil roh lagu

Filem itu berkisahkan tiga bujang terlajak iaitu Atan (Hattan), Acong (Joey Daud) dan Ajoi (Khir Rahman) yang berusaha mencari jodoh. Kononnya mereka menjadi bujang terlajak disebabkan lambat bersunat pada waktu masa kecil.

Biarpun menjadi bujang terlajak namun ketiga-tiga pemuda itu sudah mempunyai pilhan hati masing-masing iaitu anak gadis dari kampung yang sama iaitu Jijah (Ahirine), Milah dan juga Ain.

Gadis Jolobu The Movie juga menyelitkan persembahan nyanyian daripada Hattan.

Filem terbitan Asia Pasifik Zebra Studio dan Tremendous Entertainment dan itu dijadual menjengah pawagam tempatan pada 4 Ogos ini.

Untuk rekod, idea untuk menghasilkan filem Gadis Jolobu The Movie tercetus selepas kejayaan lagu Gadis Jolobu nyanyian bersama Hattan dan Waris yang meraih tontonan hampir 10 juta di laman YouTube.

Mengulas idea berkenaan, Hattan berkata, dia sebenarnya cuba menghidupkan ‘roh’ dari lagu Gadis Jolobu ke dalam naskhah layar perak berkenaan.

Katanya lagu tu menceritakan perihal orang dulu-dulu yang ingat kalau seseorang berkahwin dengan gadis Jelebu, dia akan lupa asal usulnya.

“Tapi dalam filem kita tak menterjemahkan ia begitu. Kita cuma merindui Gadis Jolobu itu, tapi tak bolah samakan dengan lagu 100 peratus. Kita cuma ambil rohnya saja.

“Supaya senang bagi saya untuk mempersembahkan nyanyian dalam filem tu selain dipermudahkan oleh dialek bahasa yang memang saya ketahui,” katanya.