Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dek selalu semput, Rosyam sokong 300% RUU kawal perokok

Usaha kerajaan memperkenalkan undang-undang bagi mengawal amalan merokom turut mendapat sokongan daripada pelakon dan pengarah, Rosyam Nor.

Bahkan artis yang turut berniaga itu berkata, langkah yang dibawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, itu mendapat sokongan yang padu daripadanya.

Sebagai perokok, kata Rosyam, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan larangan tersebut supaya negara ini dapat membina generasi lebih sihat untuk masa akan datang.

“Saya nak bercakap dengan Yang Berhormat Khairy Jamaludin (YB KJ). YB KJ kata kerajaan nak rakyat berhenti hisap rokok, khususnya remaja yang lahir pada 2007.

“Jadi, orang macam saya memang kena berhenti merokok. Justeru, saya sokong rang undang-undang (RUU) tu 300 peratus sebab aku dah hisap rokok sejak umur 18 tahun.

“Dah banyak duit aku habis,” katanya melalui perkongsian video dimuat naik di Instagram semalam.

Tambah pelakon Gila-Gila Remaja itu lagi, disebabkan merokok sejak awal dan terikat dengan ketagihan, pada tahap usianya sekarang yang mencecah 55 tahun, nafasnya selalu semput.

"Naik tangga pun boleh semput. Jadi aku memang sokong RUU ni supaya semua rakyat Malaysia sihat,” katanya.

Masuk program henti merokok

Pada 27 Julai lalu, kerajaan sedang dalam usaha menggubal peraturan untuk melarangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Antara lain RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 itu menyatakan seseorang individu yang lahir pada 2007 atau selepasnya dan didapati merokok dengan produk tembakau atau produk pengganti tembakau, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

Individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya dan didapati membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, penekanan yang lebih besar kepada rang undang-undang itu diberikan ke atas peruncit dan pengilang.

Pada masa sama, Rosyam turut mencadangkan Khairy untuk memperkenalkan insentif buat perokok tegar yang mampu berhenti merokok.

Katanya, jika cadangan tersebut diterima, dia akan mendaftarkan dirinya untuk memasuki program berkenaan.

“Kalau YB KJ buat insentif berhenti merokok, aku akan masuk,” jelasnya.