Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Wajah lain penyair

Sajak berjudul Suara sering meniti di bibirnya tetapi tidak di telinganya. Suaranya yang bergetar dalam intonasi yang tersendiri itu sering pula terngiang-ngiang di telinga kita sebenarnya bergetar dalam sanubarinya. 

Demikianlah indahnya ciptaan Tuhan; kita dapat menikmati keindahan daripada kekurangan dan kita dapat merasai bahagia daripada kemesraan yang jujur. 

Tokoh yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 ialah seorang yang sangat faham akan bara dan dinginnya udara Kuala Lumpur. 

Rumah Anak Alam, Pasar Seni, Utusan Melayu, Chow Kit Road, Dayabumi, Dataran Merdeka, Rumah PENA, DBP, ITBM dan lain-lain adalah liku-liku perjalanan hidup yang menjadi rumah keduanya. 

Wilayah pemukiman itulah yang menjadikan dirinya lelaki kepalang ajar seperti yang diwatakkan sebagai Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan atau atau menjadi Zahar dalam filem Tak Kisahlah Beb

Dialah juga Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Festival Filem Malaysia ketujuh dalam filem Tsu Feh Sofiah dan dia jugalah lelaki yang sering melontarkan kegegeran perjuangan di jalanan terhadap nasib bahasa dan kesusasteraan Melayu yang diperkotak-katikkan oleh orang politik.  

Sehingga kini, beliau menghasilkan dua buah kumpulan puisi berjudul Suara dan Saraf Dukaku serta sebuah koleksi sajak terlengkap kepenyairan beliau berjudul Balada Pyanhabib

Malah kehadirannya turut dilihat sangat menyerlah sebagai pelakon dalam Kembara Seniman Jalanan (1986), Tsu Feh-Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Apokalips X (2014), dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk  Muzium (2015).

Beliau ialah wajah lain daripada puluhan penyair besar tanah air. Kehadiran beliau dalam dunia kesusasteraan Malaysia tidak ditelusuri secara mendalam. 

Namun, puisi-puisinya selama ini sangat jelas menjurus kepada suara perjuangan rakyat yang bersimpang siur dalam nafas surealismenya.  

Puisi 'Catatan Sebelum Tidur i - Hujan', seperti ini:

 engkau hujan tidak mungkin melebat turun
tetapi kenapakah aku mendengar dengunganmu
seperti jutaan ekor lebah?
matahari bersembunyi di balik sayap awan-Mu
dan angin menderu
Engkaulah yang terbawa sedemikian banyak
kenangan menerpa, menyingkap kesepian
aku adalah lembaran diari yang tak tertulis.

Dalam puisi 'Blues i ', beliau menulis:

dari tahun-tahun perjalanan
aku menemui keramahan dari sepasang matamu
yang tenang
atau lembut jarimu kusentuh
sekali gus ngilu dan menggetarkan
dari angin pulau yang kutempuh
sesekali aku berdiri bagai pengukir
meneliti lenggok-lenggang jasmanimu
sesekali aku berdiri bagai pemabuk
menghitung bayangan seribu warna
dari pantulan cahaya yang menusuk
dan mengembang di dalam kolam
membentuk kilatan bayangan akar kiambang
di mana ikan-ikan peliharaanku
bermain...

Beliau sangat bercita-cita menjadi penyair, dan menyifatkan gelaran penyair itu terlalu mulia. 

Pernah beliau datang ke Kuala Lumpur dari kampungnya di Taiping semata-mata untuk mengambil cek honorarium puisinya yang bernilai RM10.00 daripada sebuah syarikat akhbar. 

Pembayaran honorarium itu baginya telah mengabsahkan dirinya sebagai penyair.

Disebabkan terlalu dalam minatnya, beliau telah berhenti kerja sebagai editor daripada syarikat Utusan Melayu kerana resah melihat rakan-rakannya bebas menghadiri acara baca puisi di sekitar Kuala Lumpur. 

Tugasnya sebagai editor memaksa beliau bekerja pada waktu malam sedangkan rakan-rakannya menikmati anggur puisi. 

Dek tidak tertahan lagi oleh desakan nalurinya, beliau berhenti kerja dalam tempoh 24 jam dan menjadi seorang penyair bebas tanpa sebarang jaminan pendapatan.

Tokoh yang dimaksudkan ini ialah Mohd Supyan Abdul Rahman juga lebih mesra dikenali sebagai Pyanhabib, seorang penyair yang dilahirkan pada 27 Mei 1958, di Taping, Perak.  


DR SHAMSUDIN OTHMAN ialah setiausaha agung Pena. Tulisan ini disesuaikan daripada pidato umum Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 peringkat Kuala Lumpur pada 22 Julai yang disampaikan di Rumah Pena, Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.