Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Awak di mana Zally, pulanglah... - Ras Adiba

Bekas rakan seperjuangan Zalina Azman di TV3, Ras Adiba Radzi, hari ini memohon orang ramai bersama-sama membantu menjejaki sahabatnya itu yang dilaporkan sebagai orang hilang malam tadi.

Aktivis kemasyarakatan yang juga ahli Dewan Negara itu berkata demikian semasa berkongsi hebahan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi memaklumkan kehilangan Zalina.

“Awak di mana Zally (Zalina)? Tolong pulang ke rumah. Pulanglah.

“Tolong bantu cari sahabat kami,” pintanya.

Terdahulu, media melaporkan Zalina - atau nama sebenarnya Zalina Shaharah Azman - gagal dikesan sejak Nov tahun lalu.

Perkara itu didedahkan selepas anak lelakinya, Mikhael cuba menghubungi personaliti berusia 58 tahun itu sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Zalina memulakan tugas di TV3 pada 1990 sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana kewartawanan selama setahun di London.

Selain menjadi penyampai berita, bekas pengacara itu cukup dikenali menerusi program kendaliannya iaitu Money Matters.

Dia juga pernah diberi jolokan hos wanita paling glamour serta pernah menemuramah personaliti antarabangsa seperti bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Zalina turut berpeluang mewancara bintang popular Hollywood iaitu selebriti Beyonce Knowles dan Britney Spears.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga pernah menghasilkan dua buah buku iaitu berkisar pengembaraannya, Mystical Mangla, dan kecintaan terhadap koleksi persalinannya, V For Vintage.