Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengasas bersama Crackhouse ditahan terkait video tular

Pengasas bersama Crackhouse Comedy Club (Crackhouse), Rizal Van Geyzel, ditahan Bukit Aman hari ini untuk disoal siasat mengenai isu yang menyentuh sensitiviti serta berbaur perkauman.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu kerana mengeluarkan kenyataan yang cenderung menghasut.

Lelaki terbabit juga, kata Noorsiah, disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada Jumaat bagi melengkapkan proses siasatan,” katanya malam ini.

Tambahnya apabila siasatan selesai kes tersebut akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan arahan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Tiada lesen hiburan

Sementara itu peguam Rizal, Ramkarpal Singh, memberitahu Malaysiakini pelawak itu hadir di IPD polis Dang Wangi kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi untuk memberi keterangan.

Kata Ramkarpal, Rizal memberikan keterangan kepada pihak berkuasa selama dua hingga tiga jam sebelum dia kemudian ditahan.

Kementerian Wilayah Persekutuan semalam dilaporkan menerima laporan mengenai seorang individu yang didakwa mengejek dan menghina bangsa Melayu ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, seperti yang dilihat dalam video lama yang tular.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias, berkata individu itu didakwa pemilik Crackhouse, yang lesennya digantung sementara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kelab komedi yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu digantung lesennya baru-baru oleh DBKL selepas seorang wanita dianggap menghina Islam semasa persembahan terbuka di premis terbabit.

Siti Nuramira Abdullah, 26, kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali.

Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, 38, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mencipta niat jahat dengan memuat naik video kejadian kontroversi itu.

Jalaluddin turut memberitahu Crackhouse beroperasi menggunakan lesen restoran dan minuman keras tanpa lesen hiburan yang diperlukan. Justeru, katanya DBKL akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kelab itu.

Tambah Jalaluddin, pemilik kelab komedi itu diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pelesenan DBKL.

[Baca berita penuh]