Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Elly Nor manfaatkan media sosial bina tapak seni lukis

Pelukis hari ini tidak lagi mempunyai masalah untuk mempamerkan hasil kerja masing-masing. Selain berpameran, jalan yang paling mudah adalah dengan menggunakan jaringan internet.

Setiap hari jika rajin, kita akan dapati ada beribu-ribu karya baru dimuat naik ke ruang media sosial dengan ruang yang ada pada Instagram menjadi pilihan utama.

Terdapat ramai pelukis dari negara kita mula mendapat perhatian pengemar lukisan melalui internet. Malah terdapat pelukis kita lebih dikenali di luar negara berbanding di sini hasil dari usaha mereka mempromosi karya melalui media sosial.

Antaranya Khairulsani Ismail pula sudah sekian lama menumpukan perhatian memasarkan karya di Instagram.

Melalui portal berkenaan, Khairulsani mendapat banyak tempahan dan sering diundang untuk berpameran di luar negara.

Elly Nor Suria juga adalah salah seorang pelukis yang bermula dengan media sosial.

Setelah menamatkan pelajaran di UiTM Lendu, Melaka, dia segera berkahwin dan pada masa yang sama memuat naik karyanya ke media sosial.

Walaupun sibuk menguruskan keluarga, Elly tetap menghasilkan karya. Pada awalnya dia sering menggunakan media sosial sebagai medan untuk memperagakan hasil kerjanya.

Melalui media sosial, karya-karya Elly mula mendapat perhatian.

Elly kemudian berpindah dari Besut ke Kuala Lumpur kerana dia mendapati kebanyakan penggemar yang menempah karyanya datangnya dari ibu kota tersebut.

Hanya berbekalkan semangat , Elly bersama suaminya Hazrol Salleh dan seorang anak perempuan mereka nekad menjadi seorang karyawan seni.

Pada awal penghijrahan ke kota, Elly memilih untuk menjadikan lukisan mural sebagai sumber pendapatan utama, di samping menghasilkan karya-karya lukisan di kanvas.

Impikan pameran solo

Sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap kerja-kerja yang Elly hasilkan adalah amat memberangsangkan. Kini setelah hampir tujuh tahun bekerja keras dalam bidang itu, Elly adalah antara pelukis yang mendapat tempat dalam kalangan penggemar lukisan di negara kita.

Karya-karya Elly sememangnya karya yang menggembirakan. Dia menggunakan warna-warna ceria dan ia membuatkan hasil kerja Elly mudah didekati oleh semua peringat masyarakat.

Selain berkarya, Elly bersama suaminya juga mengusahakan perniagaan membekal kanvas serta bingkai kepada rakan-rakan pelukis selain memenuhi keperluan orang ramai.

Di sela-sela itu Elly mengadakan kelas untuk kanak-kanak atau orang dewasa yang berminat untuk mendalami seni lukis.

Walaupun sedang membina nama, Elly masih meneruskan kerja-kerja melukis mural dan sangat aktif memuat naik karya-karya terbaru ke media sosial.

Pengguna media sosial yang ingin melihat karya Elly bolehlah membuat carian nama itu di internet.

Elly turut dikenali sebagai pelukis yang rajin mengikuti pameran di galeri-galeri terkenal di seluruh negara. Dia mengimpikan sebuah pameran solo sebagai dokumentasi perjalanan seninya setakat hari ini.

Terbaru Elly akan turut serta dalam pameran Synthesis anjuran Galeri Prima Kuala Lumpur.

Sebahagian daripada hasil jualan pameran yang bertemakan batik itu akan disalurkan ke tabung Tengku Azizah Fertility Foundation (TAFF) yang dinaungi oleh Raja Permaisuri Agong.

Pameran itu menjadi lebih istimewa apabila Raja Permaisuri Agong sendiri akan mempamerkan karya baginda bersama 20 pelukis lain dalam pameran yang akan bermula pada 1 Ogos ini.