Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Rumah seni, budaya yang menunggu 'disembelih'

ULASAN SENI | Aidiladha datang lagi dengan takrifan yang tersendiri - dan tinggi - bagi sasterawan.

Pengorbanan bagi mereka bukan sekadar sembelih lembu, kerbau, kibas, kambing, biri-biri atau unta. Pengorbanan adalah buat kerja sukarela tanpa mengharapkan ganjaran.

Lebih malang apabila Rumah Pena dan Rumah Gapena yang sebelum ini seakan-akan 'anugerah' untuk kegiatan kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan tiba-tiba diberikan notis menghendaki sewaan ribuan ringgit setiap bulan.

Sebagai persatuan kesusasteraan yang tidak bermotifkan keuntungan, kadar sewa yang tinggi adalah notis hukuman mati bagi acara kesenian di negara ini.

Adakah kerajaan Keluarga Malaysia yang selama ini dilaungkan sebagai peka masalah rakyat sudah hilang deria seni untuk membangunkan jiwa rakyat dengan nilai tamadun tinggi?

Adakah Umno dan PAS - yang kononnya memperjuangkan Islam dan Melayu - dan disokong padu oleh ribuan sasterawan kita sudah buta terhadap penyokong mereka sendiri?

Bukankah dulu pemimpin Umno - dan kini, PAS - kerap dijemput sebagai tetamu khas majlis baca puisi Persatuan Penulis Nasional (Pena)? Kenapa kalian wahai politikus boleh melupakan jasa badan penulis yang menawarkan pentas untuk kalian?

Perjuangan penulis yang jujur ialah membawa seni untuk masyarakat. Seni untuk mengenal dunia. Penulis yang jujur itu menulis tanpa mengharapkan sesuatu yang besar.

Penulis kecil tidak mengharapkan kondominium mewah di Forest City atau ladang musang king di Baling. Memadai jika penulisan jujur mereka dihargai.

Mendayu-dayu satu macam

Sasterawan yang bekerja tanpa upah tentunya sasterawan yang tidak mahu merungut dan berleter. Pada zaman sekarang, kerja sastera adalah kerja gila kerana segala-gala yang melintas di kiri dan kanan menuntut untuk dibayar.

Harga minyak masak yang tidak sepatutnya mencekik leher kini melambung walaupun kebun dan ladang kelapa sawit berlambak di seluruh negara.

Penulis dan penggiat seni budaya melihat Rumah Pena sebagai mercu tanda kegiatan sastera di negara tercinta ini.

Sudah banyak majlis sastera yang mengumpulkan bermacam-macam jenis sasterawan. Ada yang menjerit-jerit di atas pentas ketika membacakan sajak tentang Palestin.

Ada juga yang mendayu-dayu macam pelesit ketika bergurindam kencana soal adat dan tradisi.

Oleh kerana sastera adalah seni, maka aksi di pentas juga bebas, kerana dapat difahami kebebasan itu adalah sebahagian daripada seni itu sendiri. Inilah legasi yang ditinggalkan oleh penyair Sutung Umar RS ketika memulakan acara baca puisi bulanan di Rumah Pena dua dekad lalu.

Ketika itu Pena berdikari dan marhaen. Tidak ada majlis makan-makan seperti sekarang. Pena tidak sediakan peruntukan RM4,000 untuk setiap kali majlis baca puisi.

Sutung adalah contoh seniman sejati. Dia pemuisi yang sedia berkorban kerana seni. Sutung panggil rakan-rakan untuk membaca sajak. Hari minggu ada acara bedah karya atau borak-borak santai.

Rumah Pena juga menjadi pasar mempertemukan pembeli dan penjual buku. Hanya kerana sastera, Rumah Pena hidup.

Kini sasterawan yang berkumpul di bawah panji Pena dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sedang diuji untuk melakukan korban - seperti lalu - yang luar biasa.

Bangunan yang menjadi pusat bagi pelbagai kegiatan sastera, bahasa dan budaya sejak berdekad-dekad itu mungkin hanya tinggal sejarah jika tiada usaha dilaksanakan oleh kerajaan untuk mempertahankannya.

Rumah Pena yang terletak di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur dan berstatus kuarters milik kerajaan itu dulunya dipinjamkan tanpa dikenakan sebarang caj atau sewa bulanan.

Mulai Jun lalu, dikejutkan dengan pemakluman daripada Bahagian Pengurusan Hartanah, Putrajaya mengenai penetapan bayaran sewa bulanan berkuat kuasa bulan lalu bagi semua kuarters kerajaan.

Situasi berkenaan menimbulkan keresahan penggiat seni dan sastera tanah air khususnya dalam kalangan lebih 700 ahli Pena. Mereka tertanya-tanya mengenai masa depan premis itu, dan mampukah kos sewa bulanan ditanggung dalam jangka masa panjang.

Apakah Pena bersedia menghadapi keadaan ini sedangkan persatuan terbabit membantu kerajaan membudayakan sastera dan budaya? Kadar sewa RM3,550 terlalu tinggi untuk sebuah persatuan yang operasinya tidak bermotifkan keuntungan.

Selalu dikerah untuk berkorban

Adakah sekali lagi para penulis, sasterawan dan budayawan harus berkorban tahap dewa ketika kerajaan terus enggan melihat kegiatan seni sebagai keperluan minda rakyat Malaysia?

Para seniman sudah pernah kehilangan Rumah Anak Alam pada akhir dekad 1980-an. Sasterawan kita berkorban sebuah kediaman seni yang mendewasakan Usman Awang, Siti Zainon Ismail, Pyanhabib, Khalid Ibrahim, Khalid Salleh, Ibrahim Ghaffar, A Ghafar Ibrahim, Abdul Aziz HM, Marzuki Ali dan ramai lagi.

Aktivis teater Mior Hashim Manap dan Grup Teater Kreatif yang menghuni kediaman di sebelah Rumah Anak Alam di Padang Merbok juga kehilangan premis atas nama pembangunan terancang Kuala Lumpur.

Kini apa yang dikatakan terancang itu sudah menuntut pengorbanan lagi dan penggiat sastera mungkin kehilangan Rumah Pena dan Gapena tidak lagi. Difahamkan Rumah Gapena dikenakan sewa RM6,800 sebulan.

Walaupun proses rundingan dengan pihak tertentu sedang berlaku di Jabatan Perdana Menteri, tidak ada jaminan konkrit untuk kerajaan tidak mengusik Rumah Pena dan Rumah Gapena pada masa depan.

Mungkin sempena detik negara kian menghampiri PRU, kedua-dua premis terbabit akan dikecualikan daripada sewa bulanan. Namun tiada jaminan untuk jangka panjang kerana sasterawan kita sentiasa dikerah untuk berkorban.

Sudahlah dalam kalangan dunia seni dan sastera sendiri ada yang mengorbankan penggiat itu sendiri.

Misalnya ada penulis diminta menghantar karya untuk dimuatkan dalam jurnal sastera buat tatapan seniman Nusantara. Tempoh untuk menyiapkan tulisan itu pula hanya beberapa hari.

Apabila jurnal terbit, penulis terbabit hanya mendapat ucapan terima kasih melalui WhatssApp. Tiada ringgit, tiada sen. Demikian makna berkorban tahap dewa penulis sekarang.

Sasterawan menanti nasib

Minggu berganti bulan, penyelenggara jurnal tidak lagi berhubung dengan penulis kerana tiada kontrak hitam putih tentang pembayaran. Memadai ucapan terima kasih terhadap sumbangan sebagai tanda penghargaan sesama sahabat sastera.

Masalah yang berlaku dalam kesusasteraan tanah air bertele-tele sejak dahulu. Cuma watak dan tempat berbeza, namun natijah tetap sama. Orang sastera sentiasa berkorban - dan dikorbankan - kerana seni.

Di beberapa tempat, kerja sastera adalah kerja politik. Badan penulis ditubuhkan di bawah persatuan belia yang dipimpin oleh Pemuda Umno cawangan. Kononnya untuk memudahkan penyelarasan kegiatan, Umno tubuh biro penulisan dan aktiviti budaya bagi melestarikan kesusasteraan.

Apabila ada pemilihan peringkat bahagian, 'penulis' cawangan akan bertindak sebagai jurukempen kem yang bertanding.

Sejak dekad 1970-an banyak persatuan penulis yang di bawah naungan Umno wujud di peringkat negeri. Nama-nama seperti Rashid Ngah, Husein Ahmad dan Adnan Yaakob asalnya muncul dari pentas sastera dan budaya sebelum muncul sebagai politikus.

Di belakang mereka ramai lagi penulis yang tidak berpeluang mencipta nama kerana faktor berbeza. Namun sasterawan tetap sasterawan kerana mereka memang dilahirkan untuk banyak berkorban.

Kalau tidak berkorban, bukanlah dia sasterawan sejati. Lama-kelamaan mereka juga akan menerima nasib seperti Rumah Pena dan Gapena yang mungkin terkorban!


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.