Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Along Thai tekal jadi diri sendiri walau tiada rupa, dituduh tiru Saleem

Penyanyi baru, Along Thai tetap bersyukur kerana tanpa rupa paras menarik, dia masih dikurniakan bakat untuk meraih pendapatan sampingan dalam bidang seni tarik suara.

Pun begitu, dia yang sudah dua tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian menyedari, tanpa bersandarkan paras rupa mengikut kehendak pasaran, laluannya untuk popular mungkin memakan masa lebih dari yang sepatutnya.

“Memang agak sukar jika tak ada nama dan rupa, tapi inilah diri saya.

"Kalau segelintir peminat hanya memilih pada rupa, saya tak boleh nak kata apa-apa.

“Sebabnya, inilah rupa saya dan ia tak boleh ditukar ganti. Allah hadirkan rezeki saya dalam bentuk bakat, jadi apa yang saya boleh buat ialah teruskan usaha,” katanya.

Justeru, bagi Along Thai, kekurangan penampilan fizikal tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk bersaing demi menempatkan namanya dalam industri itu.

“Mungkin ia juga akan menjadi penyebab untuk saya berusaha dengan lebih baik. Dulu saya hanya busker (pemuzik jalanan) tak ada platform.

“Nasib mulai berubah selepas diketemukan dengan Apak (Harry Khalifah).

“Dengan platform yang ada inilah, saya akan hidupkan nama untuk naik sedikit demi sedikit," katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pulau Pangkor.

Nak ubah pun tak boleh

Dia juga yakin orang ramai boleh mula mengenali dan menerima nyanyiannya apabila tiba masanya nanti.

Along ditemui pada majlis sidang media dan pelancaran lagu saduran, Sekelip Mata Kau Berubah, nyanyiannya yang diterbitkan Padu Records, di Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam tempoh sebulan sebulan muzik video lagu itu dimuat naik di YouTube ia berjaya mencatat lebih sejuta tontonan.

Untuk rekod, lagu itu pernah dipopularkan penyanyi asal kumpulan Lestari pada era 1990-an.

Sebelum ini suara pemilik nama sebenar Muhammad Syarizal Rosli itu pernah tular di media sosial kerana vokalnya disifatkan seakan-akan milik Allahyarham Saleem Iklim.

Namun, Along Thai, 26, menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya tiada identiti kerana meniru suara penyanyi legenda itu.

Along Thai yang sudah berkeluarga itu bertegas, seboleh-bolehnya dia akan cuba menjadi diri sendiri tanpa perlu meniru suara mana-mana penyanyi pun.

“Saya nak ubah jadi lain memang tak boleh kerana sudah dilahirkan dengan suara yang begini. Jika saya cuba sebaliknya, ia akan jadi sin nga alif ngau (sengau) pula.

“Sejujurnya, memang saya meminati Saleem tapi tak adalah sampai nak meniru gaya dia menyanyi. Ini memang diri saya,” katanya.