Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lepas 'berhijrah' Kilafairy yakin rezeki takkan sempit

Pernah digelar Angelina Jolie Malaysia selain sinonim dengan imej seksi, Kilafairy tetap bersyukur rezekinya masih mencurah selepas memakai tudung.

Pelakon dan penyanyi itu berkata, dia tidak pernah memikirkan bahawa tawaran kerja dalam bidang seni akan menjadi sempit selepas dia menukar cara penampilannya.

“Apabila saya buat keputusan untuk bertudung, saya tak terfikir tawaran kerja saya akan berkurangan,” tuturnya.

Ketika rezekinya semakin murah, pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan itu semakin bersemangat dan bertekad untuk terus memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Katanya dia yakin setiap perbuatan yang baik akan dibalas dengan yang baik juga.

"Saya bertudung kerana Allah. Dan apabila rezeki saya semakin murah, ia buat saya lebih bersemangat untuk istiqamah,” katanya.

Kilafairy, 30, ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama RR Monoscarves yang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi veteran terkenal, Rohana Jalil, itu enggan mengulas terlalu lanjut mengenai perubahan ditampilkannya.

Nak elak bersentuh-sentuhan

Katanya, sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas berdepan ujian berlawan dengan perasaan.

“Saya manusia biasa, pasti akan ada masanya perlu berlawan dengan iman, ada masa ia turun dan naik. Jadi, saya malas nak cerita lebih-lebih takut nanti tiba-tiba lain jadinya.

“Apa saya boleh beritahu, saya dah buat sehabis baik. Saya rasa, cara saya mendapat hidayah yang membuatkan saya takut untuk membuka tudung,” katanya.

Pelakon itu pada masa sama juga memaklumkan, dia kini enggan melakonkan watak yang memerlukannya bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Sementara itu, mengulas perancangannya untuk menamatkan zaman bujang, Kilafairy berkata, dia lebih selesa memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadinya.

"Kalau ada yang berkata, saya bakal berkahwin dalam masa terdekat, kita aminkan sahaja.

“Jika tiba masanya nanti, saya akan kongsikan juga. Itu janji saya,” katanya.