Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Afjets puji sikap Kid, Din bincang isu tuntutan saman

Afjets Sdn Bhd berkata dua anggota Search iaitu Kid dan Din menunjukkan sikap profesional dan bertanggungjawab apabila menunjukkan inisiatif untuk berbincang mengenai tuntutan ganti rugi susulan pembatalan Konsert Search 35 seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anuar berkata, syarikatnya meneruskan perbincangan dengan Kid dan Din secara langsung, tanpa melibatkan mana-mana pihak ketiga. 

“Pihak kami telah dihubungi oleh dua anggota Search berikutan tuntutan yang dibuat. Kami merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang memberi maklum balas positif dan segera terhadap tuntutan berkenaan. 

“Kid dan Din telah menunjukkan sikap profesional dan tanggungjawab yang jelas ingin menjaga nama baik kumpulan Search. Kami memuji sikap mereka ini. Afjets masih meneruskan perbincangan dengan Kid dan Din secara langsung.

“Kami terbuka dan bersedia memenuhi syarat dan terma, yang sedang dibincang bersama dengan lanjut. Pihak kami yakin isu yang tertangguhkan ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” kata Amrul.

Pada 18 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) membayar hampir RM500,000 sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka. 

 Afjets juga diputuskan berhak untuk menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan yang dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Cuma pada ketika itu, atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi Search, Suhaimi Abd Rahman atau Amy pada masa itu kerana dia sudah muflis. Afjets juga difahamkan ketika ini, Nasir yang juga pemain bass turut muflis.

Amy

Bagaimanapun, Amrul berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Amy dan Nasir, melalui wakil atau peguam mereka.

Pada masa sama, Amrul juga menggesa semua pihak yang tidak berkenaan, termasuk yang mendakwa menguruskan kumpulan Search, supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak berasas kerana akan menimbulkan kekeliruan pada semua pihak. 

“Afjets hanya ingin menuntut haknya sebagai sebuah syarikat yang dirugikan dalam urusan yang dibatalkan oleh pihak yang berurusan dengannya lima tahun lalu.

“Jadi, saya menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.