Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Idris undang pasukan penerbit, pengarah Mat Kilau ke pejabat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad menyatakan rasa bangga dan kagumnya dengan pencapaian filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatat kutipan RM23 juta selepas tujuh hari ditayangkan.

Kata Naib Presiden PAS itu, karya arahan Syamsul Yusuf itu boleh menjadi contoh positif untuk negara ini membangunkan industri filemnya.

“Filem Mat Kilau menjadi fenomena hari ini. Lebih RM20 juta dalam tempoh seminggu.

Mat Kilau membangkitkan semangat jati diri Islam. Disajikan unsur-unsur nasihat, ikatan ukhuwah yang kuat, semuanya terangkum dalam cerita ini. Ia membawa mesej dakwah kepada masyarakat.

“Ia juga menjadi amal jariah kepada penerbit, pengarah filem, pelakon serta kru produksi dan seluruh yang terlibat,” katanya di media sosial hari ini.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara menampilkan barisan pelakon seperti Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari dan Yayan Ruhan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara Sejak 23 Jun lalu.

Ia mendapat pujian pelbagai pihak, malah ramai ahli politik menunjukkan sokongan mereka dengan hadir ke pawagam untuk menontonnya. Malah sesetengah daripada mereka hadir siap dengan pakaian seperti pahlawan Melayu siap dengan tanjak.

Justeru, Idris mengucapkan tahniah kepada semua produksi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan atas hasil usaha mereka itu.

Tidak saja itu senator terbabit turut mengundang pasukan Studio Kembara untuk datang ke pejabatnya sebagai penghargaan atas usaha yang dianggapnya gigih.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Abdul Rahman Mat Dali, Pengarah Urusan Studio Kembara dan seluruh teman selaku penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Tahniah juga buat Saudara Syamsul Yusof selaku pengarah, seluruh barisan pelakon dan warga produksi filem Mat Kilau,” katanya.

Sementara itu, Idris turut memaklumkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Majlis Anugerah Media Islam pada Jan tahun depan.

Idris (kanan) bersama Abdul Rahman

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberikan amanah untuk menjadi sekretariat anugerah berkenaan.

“Anugerah itu akan mengiktiraf karya-karya kreatif berunsurkan Islam.

“Teruskan berkarya. Saya sentiasa doakan perjuangan kalian semua," katanya.