Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yasin kongsi kisah dikhianati kawan dalam Tangisan Malaikat

Selepas Bebaskan Aku, Yasin Sulaiman yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh hadir dengan buah tangan terbaru berjudul Tangisan Malaikat.

Menurut hantaran dimuat naik di Instagram Yasin - yang dikini dikendali anggota keluarganya -  lagu berkenaan dicipta khusus untuk anak perempuan penyanyi dan komposer itu, Malaika.

“Lagu ini terhasil rentetan daripada tangisan Malaika sebaik sahaja mendengar suara ayahnya buat pertama kali di telefon selepas dia ditahan,” katanya.

Antara bait lirik Tangisan Malaikat dihasilkan itu memberi bayangan, Yasin meminta maaf pada anaknya kerana terpaksa ‘hilang’ ekoran dugaan menimpa.

Yasin Sulaiman

Lagu itu menceritakan, dia dikhianati seseorang yang dikenali disebabkan melakukan kesilapan.

Pun begitu, Yasin tidak menjelaskan menjelaskan secara terperinci siapa individu yang dimaksudkannya itu.

Turut dikongsikan adalah kredit hasil ciptaan lagu tersebut yang melodinya tertera nama Yasin dan Jo Tan.

Terdahulu, penyanyi itu menghasilkan Bebaskan Aku, sebuah lagu yang seolah-olah menggambarkan perasaan hatinya ketika ditahan di balik jeriji besi.

Lirik lagu yang dimulai dengan frasa “bebaskan aku” itu seolah-olah memberitahu dia meminta pertolongan untuk dibebaskan dari penjara. 

Kehadiran dua orang anak Yasin iaitu Samer dan Malaika di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 22 Jun lalu bagi memberi sokongan kepada bapanya mengundang perhatian.

Samer, 18 dan Malaika, 14, hadir bersama bapa saudara mereka, Zain Sulaiman ke mahkamah tersebut bagi mengikuti sebutan semula kes Yasin di dua mahkamah berasingan berkaitan tuduhan mengedar dadah jenis ganja dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik dipercayai ganja.

Dalam sebutan semula kes di Mahkamah Majistret, pihak pendakwaan meminta kes tersebut ditangguhkan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung pertuduhan penyanyi Mimpi Laila itu berkaitan mengedar dadah jenis ganja seberat 214 gram pada Mac lalu.

Permohonan itu dibuat pendakwa raya, Mohd Asnawi Abu Hanapiah di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah. Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes tersebut. 

Mahkamah Sesyen, Hakim Jamaludin Mat pula mengekalkan pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan menetapkan tarikh sama untuk serahan dokumen berkaitan kes terbabit.