Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lufya dakwa dibelasah lelaki cuba culik anak

Pelakon Lufya Omar mendakwa dia terpaksa berdepan detik cemas apabila cuba menyelamatkan anaknya daripada diculik seorang lelaki tidak dikenali.

Kata pelakon itu, kejadian berlaku di taman permainan di Kota Damansara, Petaling Jaya dua hari lalu menyebabkan dia cedera pada bahagian muka akibat dibelasah menggunakan kayu.

“Dua hari lalu saya diserang oleh seorang lelaki yang cuba menculik Laana Haura.

“Ketika itu kami berada di sebuah taman permainan di Kota Damansara, lebih kurang pukul 4 ke 5 petang.

“Seorang lelaki Melayu bersifat dayus memukul saya menggunakan batang kayu dan menyebabkan kecederaan di kepala, badan serta wajah saya,” katanya di Instagram.

Bagaimanapun, Lufya, 37, bersyukur dia dan anaknya selamat daripada kejadian mencemaskan itu.

“Alhamdulillah, anak selamat dan saya pun selamat, i'm a fighter!” tambahnya.

Mengiringi perkongsian itu, Lufya berkongsi keadaannya wajahnya yang cedera dipercayai akibat kesan daripada pergelutan tersebut.

Doakan keselamatan kami

Pada masa sama, aktres itu menitipkan pesan agar seseorang wanita perlu sekurang-kurangnya memiliki ilmu mempertahankan diri supaya boleh berdepan sebarang situasi tidak diingini.

“Apa yang saya nak sampaikan kat sini demi keselamatan anak serta diri kita sendiri walaupun kita ni wanita yang lemah kita kene ada ilmu mempertahankan diri.

“Ikutkan orang yg menyerang tu lelaki yang agak besar dan kuat. Dengan izin Allah juga saya dapat melawan dan menyelamatkan anak saya. Syukur Alhamdulillah, pengajaran di sini ialah kita kena sentiasa berwaspada.

“Kita tak tahu orang zaman sekarang ni sanggup buat perkara-perkara yang keji. Manusia makin tiada kemanusiaan. Doakan kesembuhan dan keselamatan kami ya,” tuturnya.

Tidak jelas sekiranya Lufya telah melaporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa.

Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Laana yang kini berusia empat tahun.

Bagaimanapun Lufya dan Hafiz yang merupakan rasmi bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.