Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kelantan dah biasa tak ada pawagam - Pemuda PAS

Kerajaan Kelantan tidak pernah menyekat mana-mana syarikat yang mahu membuka pawagam di negeri itu, kata PAS.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata bagaimanapun di sebalik kelonggaran berkenaan ia mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan.

"Dengan kata lain, pawagam itu mestilah patuh syariah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada masa sama Mohamad Kamal menegaskan ketika ini juga orang ramai sudah mempunyai banyak alternatif untuk menonton sesuatu filem atau drama.

"Tidak semestinya kena ada pawagam," tambahnya.

Terdahulu, isu ketiadaan panggung wayang itu di Kelantan hangat diperkatakan selepas Pemuda PAS dilihat mempromosi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan termasuk di media sosial.

Malah sekumpulan pemimpin Pemuda PAS juga didapati hadir ke pawagam untuk menonton filem arahan Syamsul Yusof itu.

Sebagai rekod Pemuda PAS Kelantan antara pihak yang tampil membantah pembukaan semula pawagam di negeri itu ketika isu tersebut berbangkit pada 2016.

Ahmad Fahdli Shaari

Menurut ketua pemudanya - yang kini Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari - cadangan membuka pawagam di Kelantan tidak bersesuaian dengan imej negeri terbabit sebagai gedung ilmu.

"Kami menegaskan Kelantan harus kekal dengan keadaan sekarang iaitu tidak memerlukan sebuah pawagam untuk golongan muda.

"Pawagam dikhuatiri boleh mengundang pelbagai masalah dan menyumbang kepada masalah sosial yang semakin berleluasa," katanya.

Selain itu kerajaan Kelantan sendiri pada 2019 menegaskan, selepas perbincangan mendalam dan panjang lebar, mereka memutuskan untuk tidak mewujudkan pawagam di seluruh Kelantan.

Mohamad Kamal berkata, dia yakin rakyat Kelantan sudah terdidik dan terbiasa dengan suasana ketiadaan pawagam di negeri berkenaan sekarang.

"Yang bising hanya segelintir individu atau parti tertentu sahaja," ujarnya.