ULASAN | Siapa Rahman Shaari?
Ya. Siapa Rahman Shaari?
Jika kita tekan di Google, tidak banyak yang dapat kita ketahui tentangnya. Hanya penulis. Tetapi jika ditekan di GoodReads, akan keluar bukunya yang agak lumayan. Persediaan Menulis Sajak, Melati dan Bahang, Semoga Molek, Memahami Gaya Bahasa, Mufarakah, dan Bimbingan Istilah Sastera. Tetapi tidaklah semua orang Melayu apatah lagi bangsa lain mengenalinya mahupun karya-karyanya.
Jika kita tekan lagi Google, dan ke bawah dalam pencarian namanya, kita akan menjumpai baru-baru ini, (sehari dua ini), pemilik nama Rahman Shaari dinobatkan sebagai sasterawan negara yang terbaru.
Ini tidaklah mengejutkan langsung. Benar. Sangat tidak mengejutkan sama sekali. Kerana rakyat kita – selain orang sastera – tidak tahu-menahu pun tentang anugerah ini, atau siapa sasterawan-sasterawan negara sebelum Rahman Shaari. Orang lebih riuh di pesta buku antarabangsa baru-baru ini, berbanding Anugerah Sasterawan Negara.
Orang kita sememangnya jahil dengan sastera, kerana Dewan Bahasa dan Pustaka pun jauh dari masyarakatnya – meskipun mereka punyai sebuah majalah bulanan berjudul Dewan Masyarakat. Meskipun subjek Bahasa Melayu wajib lulus dalam SPM, dan sastera diajarkan di sekolah-sekolah kebangsaan, rakyat tetapi tidak mempedulikan. Mereka tetap menganggap sastera dan kehidupan seharian adalah sesuatu yang terpisahkan, dan langsung tiada kaitan.
Buktinya, anda sendiri boleh datang meninjau-ninjau di DBP dan melihat sendiri kekosongan dan kelenggangan bangunan yang tingkatnya meskipun tidaklah setinggi 15km Menara Firaun, tetapi tetaplah tinggi dan agam, tetapi sunyi sepi. Balai polis di Dang Wangi pun lebih ramai orang datang dari ke DBP. Ternyata orang tidak mempedulikan. Orang tidak mempertanyakan apa beza Dewan Bahasa Pustaka, Institut Terjemahan Bahasa Malaysia, Perbadanan Kota Buku dan Perpustakaan Negara Malaysia. Meskipun jika dibaca-baca dan dibelek-belek, peranan masing-masing ini seperti bertindih atau bertindan.
Bukan. Bukan orang tidak peduli tentang korupsi dan nepotisme. Era langit terbuka dan jatuhnya rejim BN membuatkan semua penyangak atasan tidak tidur lena. Bila-bila masa sahaja boleh diheret ke penjara. Orang bukan tidak peduli tentang rasuah yang bermaharajalela. Yang sebenarnya ialah, orang tidak peduli pun pada sastera. Faisal Tehrani sendiri menulis tajuk bukunya, Sastera adalah makanan anjing. Betapa hinanya sastera itu di mata sasterawan marginal paling produktif itu.
Kita tidak kenal mana dengan Rahman Shaari ini sebenarnya. Daripada 100 orang yang kita jumpa di Kuala Lumpur, belum pasti seorang pun kenal dengannya. Jika tidak percaya, anda boleh cuba sendiri.
Kita kenal A Samad Said sebelum ini pun, bila seorang tua berjanggut dan berjambang putih, berpakaian putih dan berimej sederhana ala-Ghandi terlibat dalam rapat-rapat umum bersama rakyat dalam pelbagai siri demonstrasi sebelum kejatuhan rejim Umno-BN buat pertama kalinya dalam sejarah.
Jika A Samad Said yang lebih biasa dikenali sebagai Pak Samad itu tidak terlibat bersama rakyat, atau hanya melihat rakyat dari kejauhan, kemungkinan besar orang ramai tidak melihat kepadanya dan tidak mengenalnya seperti orang ramai tidak mengenal sasterawan dan penulis-penulis lain.
Apabila sasterawan dan penulis dilihat jauh dari rakyat dan persoalan kemasyarakatan, hanya menjabat erat pemimpin-pemimpin atasan, apa perlunya rakyat mengenali mereka? Meskipun tentu sahaja karya-karya A Samad Said yang terkenal, tetap sahaja dibaca penggemar buku dan sastera seperti Salina, Hujan Pagi, dan Al-Amin. Bahkan ada juga kritikan apabila A. Samad Said sudah semakin merapatkan diri dengan barisan pembangkang, tulisan-tulisannya sudah semakin kurang tajam.
Hal ini juga dikatakan berlaku kepada Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara dari Kedah. Karya-karyanya yang dikenali ramai ialah Shit, suatu lontaran kemarahan beliau terhadap kebejatan pemimpin yang juga berasal dari Kedah suatu masa dulu. Shahnon bahkan sempat menjadi ahli parlimen Sik mewakili PAS pada masa itu.
Ternyata Shahnon bukan sekadar menulis dan mengarang novel, bahkan ia terlibat terus dalam parti politik Islam dan menjadi ahli parlimen. Dikatakan pengkritiknya, karyanya seperti Shit tidak begitu tajam seperti karya-karyanya yang sebelum ini, antaranya seperti Ranjau Sepanjang Jalan. Ternyata keberpihakan bukanlah sesuatu yang mudah. Kritikan harus tajam, berbisa dan bersastera, dan keberpihakan juga harus jelas; bersama rakyat tertindas.
Begitu juga orang mengenali Keris Mas dan Usman Awang. Kerana dua sosok ini terlibat dalam gerakan rakyat. Puisi dan novel yang dikarang mereka menunjukkan keberpihakan yang ketara kepada golongan marhaen. Usman Awang walaupun seorang pengarang Melayu yang berasal dari Johor, walaupun beliau telah lama meninggal dunia, namanya masih diingati dan disebut-sebut. Bahkan ada sebuah Yayasan diwujudkan, yang mana penggerak kepada yayasan tersebut adalah orang Cina, dan Yayasan itu diberikan nama Yayasan Usman Awang.
Ideologi politik
Sebenarnya bukan tidak ada pengarang-pengarang lain yang sezaman atau sebaya dengan nama-nama pengarang di atas yang memperjuangkan atau peka dengan nasib golongan bawahan, yang layak diangkat sebagai sasterawan negara. Barangkali nama-nama ini tidak mengendahkan pun atau tidak peduli (bahasa anak muda hari ini, tidak ambik pot) tentang gelar tersebut.
Antaranya seperti Kassim Ahmad sendiri. Karyanya meskipun tidak seprolifik yang lain, tetapi masih disebut-sebut dan diulang-ulang sehingga sekarang. Baik karyanya yang agama yang sentiasa polemikal, mahupun karya sasteranya seperti Sidang Ruh yang juga polemikal, bahkan Dialog Dengan Sasterawan, sebuah kumpulan esei sastera. Bahkan Pak Kassim Ahmad yang pernah berpolemik dengan Shahnon Ahmad (kedua-duanya berasal dari Kedah), dalam polemik Sastera Islam, juga turut menyusun karya Hang Tuah, dan pernah menobatkan Hang Jebat sebagai hero rakyat yang sebenar. Tetapi orang sebegini tidak pernah diangkat sebagai sasterawan negara, meski pemikirannya bahkan lebih maju dari Rahman Shaari! Mahupun beberapa sasterawan negara sebelum Rahman Shaari.
Hal yang sama juga berlaku kepada pengarang Seorang Tua di Kaki Gunung (yang juga berasal dari Kedah) iaitu Azizi Hj Abdullah. Karya-karya beliau sangat prolifik. Keprihatinan beliau terhadap golongan bawahan jelas terpancar dalam karya-karya yang dituliskannya. Antaranya seperti Harga Sebuah Maruah, yang berdasarkan kisah benar, tentang sebuah kawasan sawah yang hendak diambil orang politik untuk dibuat kolam ketam. Penerima SEA Awards ini juga tidak dinobatkan sebagai sasterawan negara. Azizi Hj Abdullah sememangnya seorang ahli PAS, pernah berceramah di pentas-pentas PAS, dan juga banyak terlibat dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang dengan menulis untuk organisasi kerakyatan dan kepenggunaan ini. Adakah disebabkan ideologi politik kepembangkangannya itu juga seperti Kassim Ahmad, seorang Kiri yang pernah menjadi ketua umum Parti Sosialis Rakyat Malaysia, maka kerana itu mereka tidak dibenarkan menjadi sasterawan negara?
Jadi hanya ideologi tertentu sahajakah yang dibenarkan untuk seseorang sasterawan itu menjadi sasterawan negara? Maka jika kerana itu, kenapa rakyat dan masyarakat harus ambil peduli tentang anugerah ini dan siapa sasterawan negara seterusnya selepas Rahman Shaari? Apa faedahnya? Walaupun semua maklum pembiayaan terhadap DBP, majalah-majalahnya, bangunannya yang tinggi dan besar itu bahkan Anugerah Sasterawan Negara itu pun diambil cukainya dari semua jenis golongan rakyat.
Bangsa lain, orang Borneo tak boleh jadi SN
Selain ideologi politik yang difikirkan antara yang utama menjadi penghalang kepada seseorang untuk dinobatkan sebagai sasterawan negara (Shahnon, A Samad Said, menjadi lebih vokal selepas menjadi sasterawan negara, bukan sebelum, sementara Usman Awang dan Keris Mas tidak menganggotai mana-mana parti politik secara khusus), ialah adakah sasterawan negara ini juga seperti hak keistimewaan Melayu? Hanya orang Melayu yang boleh menjadi sasterawan negara? Serajin manapun Lim Swee Tin menulis dalam Bahasa Kebangsaan, adakah suatu hari nanti kita akan lihat sosok ini menjadi sasterawan negara?
Bahkan yang menjadi sasterawan negara itu, masihnya didominasi oleh rakyat Semenanjung. Adakah orang Borneo tidak ada seorang pun yang menulis sastera? Adakah hanya Melayu Semenanjung sahaja yang handal menulis sastera?
Jika hanya orang Melayu sahaja dibenarkan menjadi sasterawan negara, maka elok sepertimana PBAKL yang harus ditukar namanya, Anugerah Sasterawan Negara juga harus ditukar nama kepada Anugerah Sasterawan Melayu. Kerana pemilihannya sangat terhad, tertutup, dan hanya milik khas orang Melayu, tetapi menggunakan nama “negara”.
Mungkin satu hari nanti, apabila tiba sebuah era yang kelompok pemimpinnya mereka yang efektif dan mempertanyakan tentang keberkesanan, dan melihat DBP dan SN tidak berfaedah sama sekali untuk anak bangsa, maka mungkin pada masa itu bangunan DBP –tanpa rehal– itu akan dirobohkan dan ASN dihapuskan terus.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai