Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Afdlin bersikukuh dengan PKR walaupun ada desakan tinggalkan parti

WAWANCARA | Afdlin Shauki Aksan berpendapat berpaling atau mengalah bukanlah pilihan untuknya walaupun ada pihak tertentu sudah menggesa dia meninggalkan PKR baru-baru ini.

Desakan itu muncul apabila pengarah dan pelakon terkenal tu membuat laporan kepada polis berkenaan ketelusan proses pemilihan jawatan dalam parti terbabit.

Kata Afdlin ada sebab mengapa dia mahu terus berada bersama parti berkenaan walaupun ada pihak yang menunjukkan rasa tidak senang mereka.

"Kalau orang yang baik-baik keluar, maka lama-kelamaan hanya orang yang jahat sajalah duduk dalam parti," katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama Afdlin berkata dia juga berhak untuk mendapat keadilan seandainya berasa ragu terhadap proses pemilihan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatiannya, kata Afdlin, ada banyak kepincangan berlaku apabila pemilihan dibuat.

“Jika saya tak cuba tegakkan keadilan, buat apa saya menyertai sebuah parti yang namanya pun berteraskan keadilan?

“Saya tak perlu pedulikan apa orang lain nak cakap. Sebab itu saya tak takut malah tak berasa malu sedikitpun untuk tegakkan keadilan dalam hal sebegini.

“Bagi saya, sama ada seseorang itu anggota baru atau lama PKR, mereka berhak untuk suarakan pendapat masing-masing. Jika berlaku ketidakadilan, perkara itu perlu disiasat,” katanya.

Selagi khidmat diperlukan

Mengakui dirinya seorang “positif” pelakon Soal Hati itu berkata, dia bersedia jika laporan audit forensik pemilihan PKR yang akan dibentangkan pada 26 Jun ini mengesahkan keputusan memang tidak berpihak kepadanya.

Kata Afdlin, kegagalan dalam cubaan pertamanya untuk menjadi ketua cabang PKR itu sedikit pun tidak akan menjejaskan semua kerja menyantuni golongan susah yang dilakukan sebelum ini.

“Saya ini orang yang sangat positif. Saya bukan mudah mengaku kalah selagi kekalahan tu bukan ditentukan oleh pihak yang sepatutnya.

“Tapi, jika terbukti tiada pengaruh luar dan kalah, saya terima. Maksudnya, ramai orang ingin mendukung pihak yang menang, jadi tak ada masalah. Dan saya pun bolehlah pergi bercuti, berehat sekejap," katanya.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam PKR selepas ini Afdlin berkata, dia akan terus bersama parti berkenaan selagi ada ruang dan khidmatnya diperlukan.

Afdlin mula terbabit secara aktif dalam politik selepas menyertai PKR pada akhir Mac tahun lalu. Menyertai langkah tersebut tidak lama kemudian ialah penyanyi dan pencipta lagu, Altimet.

Dalam pemilihan PKR baru-brau ini, Afdlin, 51, menawarkan diri untuk bertanding bagi menjadi ketua PKR Setiawangsa. Bagaimanapun cubaannya itu gagal mendapat undi yang mencukupi bagi memperoleh jawatan berkenaan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Ahmad memenangi pertandingan tersebut dengan mendapat 482 undi manakala Afdlin 372.

Nama ada dalam senarai

Susulan itu, Afdlin membuat laporan polis terhadap JPP PKR atas dakwaan gagal bertindak apabila aduan kelemahan diajukan sepanjang pemilihan berlangsung.

Menurut Afdlin jika siasatan dan dapatan akhir mendapati dia memenangi pemilihan tersebut, ia akan memberi kelebihan untuknya meneruskan misi yang dibawanya selama ini olehnya.

“Fokus saya untuk membantu orang ramai. Jika masuk politik tapi tak gunakan pengaruh yang ada untuk tujuan baik, apa gunanya?” tambah penyanyi lagu Ikhlas itu.

Untuk rekod selepas kalah dalam pemilihan merebut ketua cabang PKR, Afdlin dan seorang lagi artis, Hans Isaac, mencuba nasib bertanding untuk mengisi salah satu jawatan dalam majlis pimpinan pusat (MPP) parti itu bagi penggal 2022-2025.

Mengulas persediaannya untuk persaingan tersebut, Afdlin berkata, setakat ini dia tidak melanjutkan sebarang usaha ke arah itu kerana masih menunggu keputusan JPP.

“Tapi saya masih lagi teruskan tugas-tugas membantu golongan susah melalui yayasan. Nama saya masih ada dalam (senarai calon) MPP.

"Kalau ada rezeki, adalah, tapi alau tak ada, tak apa,” katanya.