Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Che Ta 'dah puas' raikan tarikh nikah setiap tahun

Selepas mendapat hadiah sempena majlis ulang tahun perkahwinan kesembilan berjumlah kira-kira RM100,000 baru-baru ini, Rozita Che Wan mengumumkan dia sudah bersedia untuk berhenti daripada melakukan rutin persandingan tersebut.

Pelakon mesra disapa Che Ta itu berkata, sebagai ibu dan seiring usia anak-anaknya yang meningkat, dia berasakan perhatian perlu diberikan kepada persiapan rumah tangga zuriatnya pula.

“Saya beritahu pada Zain (suami) tahun depan akan jadi tahun terakhir kami meraikan majlis seperti ni. Kami nak bagi peluang pada anak-anak pula untuk bersanding.

“Saya juga pesan pada anak-anak, apabila mereka dah kahwin nanti boleh duduk dengan mummy tau,” katanya.

Kata ibu kepada tiga anak itu, dia sering mengambil tahu perihal kekasih hati anak-anaknya kerana ingin melihat mereka sentiasa gembira.

Mengakui dia seorang ibu yang sporting (berfikiran terbuka) Che Ta berkata dia tidak mengehadkan lingkungan kawan kepada anak-anaknya asalkan mereka gembira.

Misalnya, cerita Che Ta, hubungan romantis salah seorang anaknya, Aniq, yang pernah bertahan selama lima tahun sebelum ia terkandas di tengah jalan menyebabkan pelakon terbabit berasa sedih.

“Saya jenis memang selalu tanya Aniq dah ada kekasih ke, tunjuk la sikit gambar kekasih. Tapi kali ni dia tak nak tunjuk sebab baru berkenalan. Saya hanya tunggu masa untuk dia perkenalkan pada saya suatu hari nanti,” katanya.

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis 'berinai' bersama Zain Saidin bersempena menyambut ulang tahun perkahwinan mereka - yang dibuat lebih awal pada bulan ini - di Petaling Jaya.

Sediakan untuk anak-anak

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 11 Dis 2013 itu mengketengahkan tema Melayu tradisional sempena sambutan ulang tahun perkahwinan tersebut.

Untuk rekod, majlis persandingan itu mendapat tajaan rakan baik Che Ta, iaitu Anas Zahrin.

Che Ta berkenalan dengan Zain ketika membintangi drama Kiah Pekasam pada tahun 2009. Pasangan terbabit dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang bakal memasuki usia 9 tahun.

Che Ta turut memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya iaitu Ammar Effendy, 26, dan Aniq Ezzra, 24.

Pada masa sama, Che Ta mendedahkan dia menjadi insan yang paling gembira dalam soal menyediakan hadiah untuk buah hati anak-anaknya.

“Siapa yang jadi kekasih mereka ni senang, saya yang sediakan hadiah, bunga, kek. Mereka nak pergi dating, okay bawa je barang-barang tu.

“Kita ni perempuan, kita mesti seronok bila boyfriend kita buat macam tu. Jadi saya sediakan untuk anak-anak saya,” katanya.