Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tya Ariffin nafi dakwaan sengaja tinggalkan anak menangis di lantai

Tya Ariffin menepis dakwaan dia sengaja meninggalkan dua orang anaknya menangis di lantai halaman rumah semata-mata untuk mengejar urusan dunia.

Kata penyanyi dan pelakon itu, demi anak-anak dia berkorban melalui karier seni dan pada masa sama membantu lebih ramai meraih pendapatan melalui perniagaan.

“Saya bukan sengaja meninggalkan dua orang anak di rumah, sebaliknya perlu keluar bagi melunaskan komitmen kerja. Hati mana yang sanggup melihat anak-anak menangis mahu ikut ibu bapa mereka.

“Sejak saya usahakan produk sendiri, ramai yang berjaya saya bantu terutama golongan wanita untuk memiliki sumber pendapatan. Baik suri rumah, ibu tunggal, dibuang kerja, atau wanita berkerjaya lain yang perlu pendapatan sampingan.

Tya Ariffin

"Disebabkan itu, saya memang kena ketepikan seketika kerjaya lakonan kerana mahu terus mengejar misi membantu lebih ramai orang. Sasaran saya pada tahun hadapan adalah dapat membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia pula,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, kata menantu tiri penyanyi Siti Nurhaliza itu, mujur dia tidak perlu membiarkan mereka lama-lama di rumah.

“Sukar untuk saya jelaskan situasi ni, namun apa yang pasti ibu bapa yang turut berdepan dengan perkara yang sama memahaminya,” tambahnya.

Tya dan Asyraf berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 5, dan Azzahra Jiwa, 3.

Terdahulu, perkongsian pemilik nama asal Nurtria Wulandari Arifin, 27, itu melalui aplikasi Tik Tok mengundang reaksi banyak pihak.

Ada antara warga maya yang menyoalkan tindakan pasangan suami isteri itu kerana meninggalkan dua orang anak mereka demi mencari rezeki. 

Bagaimanapun kata Tya, dia bersyukur kerana suami sering memberikan semangat dan motivasi serta menyokong segala tindak-tanduknya.

“Menjadi usahawan juga sebenarnya membuatkan saya kembali jumpa tujuan hidup. Kalau dulu, saya berlakon demi mencari wang untuk ibu bapa saya dan sejak berkahwin, saya tertanya apa lagi tujuan hidup perlu dikejar.

“Tujuan utama saya menjadi usahawan adalah untuk membina perniagaan jangka masa panjang. 

“Misi utama saya adalah untuk membantu orang ramai mengecap impian bersama dan berjaya dalam perniagaan secara percuma,” katanya.