Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mathni tak rela cipta kontroversi demi buat nama dikenali

Pelakon Mathni Razak berkata, dia “tidak berminat” untuk menyajikan peminat dengan sebarang kontroversi meskipun menyedari namanya belum melonjak untuk dikenali ramai.

Sedar kedudukannya di mana, namun Mathni memberitahu, dia tetap berlapang dada dan tidak sesekali melakonkan adegan ‘panas’ demi meraih populariti.

“Saya tak ada masa nak cipta kontroversi. Kalau kurang dikenali atau tak dapat watak utama pun saya masih okey.

"Terutama jika disuruh buat adegan peluk-peluk, tu tak bolehlah.

"Ada pelakon baru, lepas dihimpit kontroversi dengan mudah mereka dapat watak utama, cuma saya tak berminat untuk boom (lonjakkan) nama melalui perkara tak manis seperti segelintir pihak lakukan,” katanya.

Namun, pemilik nama penuh Ahmad Mathni Ab Razak itu mengakui ada beberapa pihak tampil mencadangkan agar dia mencipta kontroversi sebagai 'pelaris' untuk membolehkan orang ramai mengenalinya segera.

Misalnya, kata Mathni, dia dicadangkan mencipta skandal.

"Tapi saya tak mahu buat perkara tak wajar dibuat. Setakat ni, saya hanya fokus pada watak diberi saja.

“Saya juga sedar, masih banyak yang perlu dipelajari memandangkan saya masih baru dalam bidang ni,” kata bapa kepada dua anak dua berkenaan.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra dengan pengasas produk kosmetik Avenys di The Linc Kl baru-baru ini.

Pada majlis itu, Aleeya Zailan dan Big Boss mengumumkan produk terbaru mereka, tudung Zebra, Flamingo, Leopard dan Maguro.

Mathni bagaimanapun mengakui dalam keadaan tertentu kontroversi sukar dielak bahkan boleh terjadi di luar kawalannya.

Dan seandainya benar-benar berlaku, dia perlu menghadapi perkara itu dengan baik.

Mengenai lakonan, kata Mathni, seboleh-bolehnya dia cuba mengelak daripada membawakan watak keterlaluan melalui perbincangan bersama pengarah dan penerbit.

“Saya sudi terima apa saja watak, tapi ada batasnya. Setakat ni, tak ada masalah lagi dengan tawaran diberikan.

"Jika ada yang keterlaluan, saya berbincang untuk mencari penyelesaian,” katanya yang membuat kemunculan sebagai Cikgu Rayyan dalam drama Histeria The Series yang sedang ditayangkan di saluran Astro Citra.