Kes pukul: Pelakon lelaki direman tiga hari
Seorang pelakon lelaki popular direman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji (gambar, judul) berkata pelakon berusia 30-an itu ditahan tengah hari ini di kediamannya di kondominium sama.
“Kejadian berpunca apabila mangsa telah meminta rakannya menghantar barang ke kediamannya kira-kira pukul 8 malam namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium itu, mangsa kemudian turun ke lobi untuk bertanya kepada pengawal keselamatan tentang perkara tersebut dan berlaku pentengkaran di antara mereka berdua.
“Artis lelaki berkenaan yang turut berada di lobi itu kemudian secara tiba-tiba datang dan dipercayai menumbuk dan menendang mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Habibi berkata mangsa dikatakan telah ditumbuk dan ditendang di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan dan suspek disyaki turut mengugut mangsa.
“Mangsa membuat laporan polis pagi semalam (Jumaat, 17 Jun) dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul dan melakukan ugutan jenayah,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai