Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Johnny Depp menang kes saman malu terhadap bekas isteri

Juri yang bersidang di Mahkamah Circuit di Fairfax Country, Virginia, Amerika Syarikat memutuskan Amber Heard perlu membayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta) terhadap bekas suaminya Johnny Depp.

Keputusan itu dibuat selepas enam minggu perbicaraan kes saman fitnah berprofil tinggi itu berlangsung.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan jumlah itu dikurangkan kepada AS$10.35 juta (kira-kira RM45 juta) sejajar dengan had punitif yang dibenarkan undang-undang di negeri itu.

Juri juga membuat keputusan Amber dibayar ganti rugi sebanyak AS$2 juta (RM8.7 juta), dalam perbicaraan penuh kontroversi yang membabitkan pelbagai saksi dan bintang Pirates of the Caribbean itu.

Depp memfailkan saman fitnah terhadap Amber atas penulisannya untuk kolum Washington Post yang mendakwa dia adalah “figura awam mewakili keganasan rumahtangga” dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta), lapor Reuters.

Amber yang juga pelakon Aquaman menyaman balas untuk AS$100 juta (RM437.8juta), dengan menyatakan Depp mencemarkan reputasinya.

Depp turut menafikan memukul Heard, 36, atau mana-mana wanita sebaliknya berkata wanita itulah yang melakukan keganasan dalam rumah tangga mereka.

Kedua-duanya bertemu pada 2011 ketika berlakon filem The Rum Diary sebelum mengikat tali perkahwinan pada Februari 2015.

Depp memberitahu juri, tuduhan Amber menjejaskan segala-galanya termasuk sebuah filem terbaru 'pirates', dan wataknya dalam dalam Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore turut digantikan dengan Mads Mikkelsen.

“Juri beri kehidupan saya semula. Saya benar-benar merendah diri. Yang terbaik akan datang dan akhirnya lembaran baru bermula,” kata Depp yang menyaksikan keputusan itu dari Britain dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Amber yang berada dalam sidang perbicaraan hanya tunduk ketika keputusan dibacakan.

Amber dalam kenyataannya meluahkan rasa kecewa dengan keputusan juri.

“Kekecewaan dialami hari ini tidak dapat digambarkan. Saya benar-benar kecewa kerana walaupun selepas banyak bukti dikemukakan, ia masih tidak mencukupi untuk mengatasi pengaruh dan kuasa bekas suami saya.

“Saya lebih kecewa dengan impak keputusan ini untuk kaum wanita. Ia adalah satu kemunduran,” katanya.