Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dramatis meninggal dunia lepas sebulan dirawat di HKL

Dramatis Aripah Damanhuri meninggal dunia kira-kira jam 8.15 pagi hari ini akibat jangkitan kuman selepas lebih sebulan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berita dukacita itu disahkan oleh anak bongsu pelakon terbabit, Fais Nurpais Ismail, di Facebook.

“Mak akhirnya pergi juga. Bagi sesiapa yang mengenali mak, Aripah Damanhuri, dukacita dimaklumkan mak baru saja meninggal dunia jam 8.15 pagi tadi di HKL,” katanya.

Aripah, 73, dimasukkan ke HKL pada 23 April lalu selepas paras oksigennya menurun. Dia kemudian terpaksa ditidurkan selepas disyaki mendapat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Kakak Normah Damanhuri itu turut diberi bantuan pernafasan selain semua jenis ubat penguat jantung dihentikan.

Allahyarham banyak membintangi drama sejak 1980-an.

Jenazah Aripah dijadualkan dibawa ke Surau al-Tarbiyah Taman Melewar dan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda.

Fais turut memohon disedekahkan doa buat arwah ibunya.

“Selain tu, jika ada hutang mak yang belum langsai, hubungi saya, insya-Allah,” katanya.