Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aktivis seni serah memo berkaitan kes Bella buat TMJ

Beberapa penggiat seni menyerahkan memorandum kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi mendesak agar prosiding kes remaja, Bella, disegerakan.

Bercakap mengenai hal itu, pelakon Betty Banafe, berkata mereka bimbang kelewatan memulakan prosiding tersebut akan memberi kesan kepada daya ingatan remaja yang juga orang kelainan upaya (OKU) berkeaan.

Katanya dengan keadaan Bella yang mengalami sindrom Down, tahap ingatannya amat berbeza berbanding dengan orang biasa.

“Kami khuatir sekiranya daya ingatan adik Bella amat pendek, mungkin dia akan lupa penderaan tahap empat yang dilakukan terhadapnya.

“Penderaan dialaminya bukan bukan setakat tisu terkoyak, tapi termasuk penderaan psikologi dan psikiatri.

“Justeru, kami ambil kesempatan untuk menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Che Puan Besar Khaleeda Bustamam atas kesanggupan berjuang demi keadilan bersuara untuk anak OKU, adik Bella,” katanya.

Memorandum itu diserahkan kepada seorang daripada peguam dilantik oleh TMJ, iaitu Khairul Anwar Rahmat, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Khairul Anwar dilantik sebagap peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella.

Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati yang dilantik ialah Baljit Singh Sidhu, Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Turut hadir di mahkamah, Presiden Konsortium Irama, Ayoub Abdul Majid dan pengarah, pelakon serta penulis skrip, Ellie Suriati Omar.

Tambah Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe, mereka merupakan antara rakyat Malaysia ingin menjadi ‘suara’ buat Bella bagi memperjuangkan keadilan yang telus buat anak istimewa terbabit.

Katanya, kes penderaan amat sensitif bukan saja untuk rakyat negara ini bahkan di mata dunia.

“Masyarakat Malaysia adalah hero kepada adik Bella kerana dia tiada suara seperti kita, dia tiada akal dan kewarasan untuk perjuangkan hak kemanusiaannya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya menerima memorandum yang diserahkan dan akan dipersembahkan kepada TMJ Che Puan Besar Khaleeda.

“Kami dari pihak pasukan peguam pemerhati ucapkan terima kasih kepada masyarakat awam yang berminat untuk mengikuti perkembangan kes ini.

“Kami berharap prinsip keadilan dapat ditunjukkan akhirnya,” katanya.