Pernah dimaki, Sarimah pesan pengacara jangan syok sendiri
Dimaki berkali-kali oleh rakan sekerja ketika mengacara majlis berprestij tanah air secara langsung suatu ketika dulu menyebabkan Sarimah Ibrahim kini mengambil sikap lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran.
Mengakui ia peristiwa paling buruk dalam sejarah hidupnya sebagai pengacara, Sarimah menyeru sesiapa yang menerima tawaran menjadi hos agar tidak mengamalkan sikap 'syok sendiri' ketika menjalankan tugas di pentas.
“Apa yang boleh saya pelajari daripada pengalaman lalu ialah agar sentiasa berjaga-jaga sebelum terima sesuatu tugas.
“Apabila rakan gandingan sejenis syok sendiri atau rasa diri dia lebih hebat, dia akan cuba jatuhkan kita demi kepentingan sendiri.
“Dia maki saya, namun saya tak berdiam diri dan ada membalasnya ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun, Sarimah, 44, enggan mendedahkan siapa pengacara yang dimaksudkannya itu.
Jelas isteri kepada cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku MudzaffarTunku Nadzimuddin itu, apabila seseorang pengacara mengamalkan sikap mementingkan diri, ia sebenarnya hanya akan merugikan banyak pihak.
“Sikap 'anjing menganjing' merugikan produksi, diri sendiri jadi nampak murah malah membuatkan penonton tak menghargai kehadiran kita sebagai hos.
“Ia tak bagus. Jadinya, semua benda pun ikut 'tenggelam' bersama,” katanya.
Naik sebab pengikut, peminat
Sarimah berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran platform media sosial FENIX360 di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
FENIX360 ialah sebuah platform artist-centric yang dijangka akan mengubah perniagaan tradisional penggiat seni dengan pengalaman ekosistem 360 dan model pembayaran yang akan membolehkan mereka mengekalkan majoriti hasil pendapatan melalui platform tersebut.
Ditanya sama ada dia mengetahui sikap sebenar pengacara terbabit sebelum menerima tawaran berkenaan, Sarimah menjawab: “Saya tak nak percaya pada mulanya.”
Mengulas lanjut, penyanyi Kini Kau Tiada itu berkata, dia fikir individu berkenaan boleh mengetepikan sikap buruk dan bersikap profesional semasa bertugas sebagai pengacara.
“Saya belajar daripada kesilapan. Mujur kejadian tak sampai jadi seperti Will Smith dan Chris Rock," katanya berseloroh.
Untuk bertahan dalam bidang tersebut, Sarimah berkata, seseorang hos perlu bijak membawa diri serta menyelami emosi penonton.
Menurutnya, disebabkan ramai pesaing dalam bidang itu, adalah penting untuk seseorang pengacara selalu merendah diri dan tidak berasakan diri sendiri lebih tinggi berbanding orang lain.
“Orang ramai datang dan pergi. Apa pun, kita kena merendah diri jangan jadi diva. Itu pentingnya untuk belajar ilmu pengacaraan dari bawah.
“Jika seseorang datang dari media sosial sebab pengikut dan peminat, tu yang kadang-kadang timbul isu disiplin.
“Saya dulu bermula hanya tepuk-tepuk tangan sampai lima jam. Tapi akhirnya berada di sini, jadi saya faham maksud berusaha dan hargai tugas mencabar ni,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai