Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultanah Nur Zahirah tak pernah tanya apa harta saya ada - Nafiz Muaz

Ditakdirkan berjodoh dengan adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Nafiz Muaz bersyukur apabila hubungannya itu direstui meskipun dia tidak memiliki harta dan kekayaan.

Kata pelakon itu, Sultanah Nur Zahirah - yang dipanggilnya Kak Zahirah - melayannya dengan sangat baik bahkan dia tidak pernah dipandang rendah.

“Sebelum berkahwin, memang saya bahasakan diri patik, tapi apbila dah berkahwin, Sultanah Nur Zahirah berkata, baginda tak mahu ada jurang di antara kami.

“Sultanah tak pernah bertanya apa harta yang saya ada malah menerima saya dengan tangan terbuka walau saya hanya ada sebuah kereta dan motor saja.

“Sebenarnya hari ni pun (ketika ditemu bual), saya dari istana hinggap tuanku di Kuala Lumpur. Kalau baginda ada di sini, baginda gemar ajak kami berjumpa di istana,” katanya.

Nafiz, 23, berkata demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Manggis Group di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir itu diijabkabulkan dengan Diyana Omar pada 2 Januari tahun lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Ada penggambaran menanti

Majlis perkahwinan mereka turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli.

Jelas pelakon Hello, Jangan Tapau Cintaku itu, dia dan isterinya masih orang kebanyakan dan hanya kakak iparnya yang menjadi sebahagian kerabat diraja.

“Saya perbetulkan sikit sebab isteri saya bukan golongan kerabat. Kakak dia, Sultanah Nur Zahirah dulu memang seorang rakyat biasa.

“Selepas berkahwin, hanya baginda yang bergelar golongan kerabat tapi keluarga isteri saya hanya orang biasa,” katanya.

Pada masa sama, Nafiz tidak mahu perkongsiannya disalah ertikan hingga akhirnya mengundang fitnah atau cakap-cakap belakang.

“Ada orang kata, biarlah orang lihat kita susah, daripada orang lihat kita senang dan cemburu dengan kita,” tuturnya.

Sementara itu, berkongsi perkembangan kariernya, Nafiz menjelaskan, dia akan kembali sibuk di lokasi penggambaran selepas lama bercuti.

Dalam jadual, katanya, sudah penuh dengan penggambaran telefilem dan drama yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Ada beberapa telefilem dan drama yang dah dipersetujui. Antara drama yang akan saya bintangi nanti akan turut dibarisi oleh Nadzim Othman dan Ruhainies,” katanya.