Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anime: RTM tak berniat jadi 'Jepun celup'

Keputusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan anime sebagai syarat menghasilkan program animasi bukan bermakna agensi itu kini berkiblatkan Jepun.

Sebaliknya, kata Pengurus Saluran Okey, Ellia Norni Elias, ia hanyalah cadangan yang dibuat hasil kaji selidik dijalankan di dua buah universiti tempatan.

“Saluran TV Okey adalah berkaitan gaya hidup rakyat negara ini, justeru jika mengikut arah aliran (trend), kajian penontonan khususnya dalam kalangan remaja, kami mendapati kebanyakan mereka sangat menggemari anime.

“Antara peserta kaji selidik itu terdiri daripada pensyarah dan juga pelajar yang menyertai bengkel anjuran RTM.

“Tapi ini tak bermaksud RTM mahu semua penggiat animasi untuk berkiblatkan anime Jepun 100 peratus,” katanya.

Ellia berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat pembekal bersama pembekal bagi perolehan pembekalan program TV tempatan dan swasta baru dan sambung siar 2023 di RTM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terdahulu, Persatuan Animasi Malaysia menyifatkan tindakan RTM meletakkan perkataan anime sebagai syarat menghasilkan program animasi sebagai cukup mengelirukan.

Presiden Animasi, Amir Hamzah berkata, ramai penggiat bidang itu antaranya meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap syarat baru diperkenalkan.

Selain itu, Persatuan Animasi juga terkilan apabila satu lagi syarat pembikinan RTM kini mengehadkan hanya satu judul saja berbanding sebelum ini.

Untuk rekod, selain Persatuan Animasi, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan ekoran tempoh sesi saringan perolehan yang didakwa semakin suntuk hingga membebankan pembekal.

Ia susulan RTM baru membuka semula permohonan mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) bagi membekalkan Program Televisyen (TV) Swasta Baru Tempatan untuk siaran syarikat itu tahun depan pada 20 April lalu.

Pada masa sama Ellia, berkata, RTM meletakkan syarat itu bertujuan untuk melihat kualiti yang ditawarkan oleh syarikat pembekal animasi.

“Kenapa kami meletakkan syarat tersebut… sebab ia bertujuan untuk melihat kualiti yang mampu disampaikan.

“Kami tak berharap pembekal untuk hasilkan kualiti animasi 100 peratus seperti anime. Ia dianggap memadai sekiranya mereka memberikan hasil tersebut pada tahap sekurang-kurang 60 peratus,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga memahami, untuk menghasilkan anime, proses itu boleh memakan kos yang sangat tinggi serta mengambil tempoh yang lama.

Menurutnya, syarat itu masih pada peringkat percubaan dan mungkin akan ditambah baik atau dirombak pada masa akan datang.

“Ini hanya permulaan dan syarat itu akan dibaiki pada masa akan datang. Sekiranya pembekal berkata animasi memakan kos yang tinggi, RTM mengikut harga standard dan pada masa sama, kajian harga akan dibuat.

“Kami juga tak mahu syarikat pembekal alami kerugian. Kami faham ini adalah perniagaan mereka. Kami juga mengharapkan yang terbaik.

“RTM amalkan konsep terbuka, jika ramai kata tak sesuai, kami tak akan teruskan. Nak bertanya dan berbincang dengan kami, semua dialu-alukan berbuat demikian,” katanya.