Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jangan biarkan RTM jadi macam badan kebajikan, kata David Teo

David Teo menyarankan kerajaan tidak menjadikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti sebuah badan kebajikan kepada syarikat pembekal program televisyen yang tidak berkelayakan sekiranya badan itu ingin menerbitkan karya berkualiti.

Justeru, ketua pegawai eksekutif Metrowealth itu mencadangkan agar RTM terlebih dulu menapis latar belakang sesebuah syarikat penerbitan sebelum membenarkan mereka menyertai sesi saringan perolehan (pitching) sebagai pembekal program televisyen untuk siaran syarikat itu tahun depan.

Menurut David, jika diikutkan, jumlah syarikat penerbitan yang benar-benar berkualiti dan berpengalaman dalam industri setakat ini dianggarkan hanya ada lebih kurang 100 saja.

“Yang selebihnya banyak syarikat yang suka trial and error (mencuba). RTM pula suka bagi peluang pada orang yang trial and error ni walaupun tak tahu hasilnya macam mana.

“Agensi ni dah ibarat badan kebajikan. Hampir 70 peratus mereka yang menghadiri sesi taklimat bersama pembekal di RTM hari ini juga boleh dikatakan terdiri daripada muka-muka baru yang tiada pengalaman.

“Jadi, RTM kena tapis dulu kredibiliti syarikat penerbitan, pilih yang mempunyai pengalaman bersesuaian baru benarkan mereka masuk pitching. Tak adalah pegawai yang proses untuk sesi perolehan perlu kerja teruk,” katanya.

Menurut David, antara faktor kesesuaian perlu diteliti RTM ialah dari sudut modal, kerana ada antara mereka yang mendaftar sebagai pembekal itu tidak mempunyai sumber mencukupi.

“Ada juga yang pernah datang pada saya minta bantuan wang pendahuluan. Ini tak betul sebab kelayakan sebagai penerbit tak ada. Mereka tak ada sumber kewangan kukuh.

“Ada juga yang mendaftar syarikat guna nama adik-beradik, sanak saudara termasuk pembantu rumah pun ada.

“Mereka datang sini (sesi taklimat) mungkin sebab perniagaan lain yang diusahakan sebelum ni dah lingkup. Muka baru ni semua berharap dapat projek,” katanya.

Usah layan surat sokongan

David berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat bersama pembekal bagi perolehan pembekalan program TV tempatan dan swasta baru dan sambung siar 2023 di RTM, Kuala Lumpur kelmarin.

Ia dilakukan ekoran keluh kesah kebanyakan penerbit yang bergantung kepada penjualan kandungan di RTM selepas stesen berkenaan mengumumkan mereka kehabisan peruntukan untuk mengadakan sesi saringan perolehan tahun ini.

David, 57, menegaskan cadangan yang dikemukakan itu bukan bermakna dia tidak menyokong syarikat penerbitan yang baru bertapak dalam industri.

Cuma katanya RTM wajar mendahulukan pemilihan untuk syarikat yang berkelayakan memandangkan terdapat lebih 1,000 syarikat sedang mencuba nasib sebagai pembekal.

“Proses pemilihan saringan juga mungkin boleh dibuat secara berperingkat. Asingkan, untuk tahap pertama, pilih mereka yang ada pengalaman saja.

“Tahap kedua, baru berikan peluang pada pendatang baru yang ada pengalaman misalnya pernah bekerja untuk produksi lain sebelum ni.

“Saya sokong orang baru untuk bersaing, tapi jika asyik tabur beras dalam laut, beras tu boleh naik? Dah puluhan tahun kami sebagai penggiat seni perlu berdepan situasi begini,” katanya.

David pada masa sama berkata, dia menyokong tindakan RTM yang berjanji untuk bersikap telus pada sesi pitching kali ini dengan tidak akan melayan sebarang surat sokongan.

“Kami sebagai penggiat seni memang berharap. Setiap kali menteri komunikasi dan multimedia bertukar setiap kali tu juga pantai kita yang dilanda ombak berubah.

“Banyak keputusan baru dan terlalu banyak karenah. Tapi kali ni saya lihat muka-muka baru termasuk Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Che Roslan Che Daud yang amat mementingkan kualiti tontonan dan nilai komersial, ucapannya memberi satu petanda baik.

“Saya harap mereka telus, bila bercakap bab tak akan melayan surat sokongan, begitulah prosedurnya. Jangan nanti, bercakap tu hanya atas pentas saja, tiba-tiba surat sokongan datang dari ‘bawah katil’ pula,” katanya.