Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Vida akur mengadap SKMM walau sedang sakit kepala

Usahawan kosmetik Hamiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) berkata dia tetap hadir seperti diarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberi keterangan hari ini walaupun kepalanya sedang sakit.

Diminta hadir bagi membantu siasatan berhubung video muzik lagu rayanya Vida berkata, dia akur dengan arahan SKMM selepas diberitahu ada pihak tertentu melaporkan kandungan berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Saya tak tahulah nak cakap macam mana untuk lagu raya saya Muah Muah Raya. Saya tak promosi sangatlah selepas saya tengok Aliff dipanggil ke MCMC (SKMM) sebelum ni.

“(Sebenarnya) Saya dah buat benda ni sebelum Aliff kena panggil SKMM. Maka saya kena pergi ke SKMM untuk diambil keterangan terhadap lagu Muah Muah Raya.

“Saya pun memang tak sihat, sakit kepala. Saya turuti untuk pergi ke SKMM. Sebab lagu Muah Muah Raya telah dilaporkan,” ujarnya dalam satu hantaran di Instagram malam tadi.

Vida berkata demikian melalui sebuah klip video yang memaparkan dia sambil berjalan di sekitar kediamannya di Ipoh, Perak.

Terdahulu, video muzik Muah Muah Raya dihimpit kontroversi kerana memaparkan aksi penari yang dikaitkan dengan golongan LGBT sekali gus disifatkan mencemar sambutan Aidilfitri.

Sebelum Muah Muah Raya, umum juga dikejutkan dengan tindakan Aliff Syukri yang tampil dengan lagu dan video muzik raya berjudul Kelepok Raya.

Usahawan kontroversi itu turut dipanggil untuk memberi keterangan di SKMM.