ULASAN | Mengenang Mustafar AR - Tegas dengan fakta
ULASAN | Pada Sept 2021 tiba-tiba tercetus perang emosi di Facebook melibatkan Mustafar AR dengan geng anak muda mengenai status rumah arwah Nordin Ahmad di Sungai Besar.
Mustafar tidak setuju sebuah rumah kayu dua tingkat di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar, Selangor dinamakan sempena seniman legenda berkenaan. Alasannya pelakon terbabit berasal dari Seberang Prai di Pulau Pinang.
Justeru bagi Mustafar sewajarnya rumah warisannya dijadikan seperti muzium untuk dikunjungi peminat itu dibina di Pulau Pinang.
Mustafar menyifatkan ia seperti idea goblok, lalu melanjutkan gelaran seorang pelakon veteran terhadap 'geng anak muda' itu sebagai golongan yang tidak boleh ditegur.
Seorang warganet, Fakhrul Adli, menyarankan agar Mustafar menggerakkan usaha agar rumah Nordin Ahmad dibangunkan di lokasi diinginkannya.
"Kenapa suruh aku? Suruhlah Finas atau Arkib Negara usahakan. Tidak semestinya apa yang aku tegur aku kena buat.
“Hanya Finas dan Arkib Negara saja yang boleh laksanakan. Warisanlah katakan. Sepatutnya rumah Nordin Ahmad itu Finas pula buat. Bukan mereka bukan juga aku.
"Kalau Nordin Ahmad Café atau Nordin Ahmad Homestay masih OK lagi. Rumah Nordin Ahmad tidak boleh dibuat sembarangan," jawab Mustafar.
Kumpulan yang tidak sependapat dengan Mustafar itu antaranya ialah Hidir Ali Razali iaitu individu yang berperanan di sebalik kewujudan rumah Nordin yang dilancarkan pada 2018.
Mendekatkan generasi baru
Sama ada Mustafar atau 'geng anak muda' itu, masing-masing sudah menghasilkan buku mengenai filem Melayu. Umpamanya Mustafar menyiapkan buku 50 Tahun Filem Malaysia & Singapura (1930-1980) dan Filem-Filem P Ramlee yang ditulis bersama Aziz Sattar.
Hidir pula merupakan penulis buku Nordin Ahmad-Permata Seni Terbilang dan Di Sebalik Tirai Layar.
Buku-buku yang mereka tulis itu pula diterbitkan tanpa sesen pun gunakan duit Finas. Finas - atau nama penuhnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional - merupakan badan yang diberi tanggungjawab membangunkan filem negara.
Kedua-dua pihak turut aktif menulis di media sosial mengenai filem, seniman dan seniwati lama. Mustafar sendiri popular dengan blog Filem Klasik, manakala 'geng anak muda' melalui Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik dan Repair Gambar Lama.
Bahkan pada 16 Sep 2021, saya bersama Sandakiah Azeez diundang Repair Gambar Lama menjadi panel dalam program bual bicara dalam talian bagi membincangkan tajuk Sudah Tiada Baru Diagungkan.
Hidir bertindak selaku moderator.
Kedua-dua mereka berperanan untuk mendekatkan generasi baru kepada karyawan filem klasik era Studio Cathay Keris dan Studio Jalan Ampas.
Berbeza dengan bekas wartawan hiburan yang kebanyakannya tidak lagi menulis apa-apa mengenai seniman, seniwati serta filem Melayu klasik di era kemuncak dahulu.
Tabit saya buat Mustafar kerana biarpun dia merupakan wartawan hiburan era 1960-an, tetapi tetap bersemangat menulis dan dapat menyesuaikan diri dengan isu semasa.
Cuma timbul persoalan sewaktu Mustafar berperang dengan 'geng anak muda' berkenaan, tidak nampak pula rakan seperjuangannya atau bekas anak-anak didiknya tampil sebagai tanda sokongan.
Berbeza 'geng anak muda’ itu yang bergerak berkumpulan. Selain Hidir, ada Aiman Hakim, Danial Abdul Aziz, Ahmad Fateh Zafri (Raja Kubur) dan Era Azman yang sejiwa mempertahankan hujah mereka.
Tetap tak kisah
Dengan status Mustafar yang menjadi wartawan selama 30 tahun termasuk menjadi pengarang dan penyunting di Utusan Malaysia, serta pernah bertugas sebagai setiausaha Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) dan Presiden Persatuan Wartawan Filem Malaysia (PWFM), tidak wajar dia dibiarkan terkontang-kanting mempertahankan faktanya.
“Sebenarnya, aku dah malas nak layan isu rumah Nordin Ahmad ini. Bila bersuara, aku pula dituduh provokasi. Ada pula ugutan, nak hack FB aku.
“Dengan apa yang aku timbulkan kembali, pastinya berapa banyak sumpah seranah yang akan aku terima. Apapun, ada aku kisah..” luah Mustafar.
Mungkin ‘geng culprit’ tidak sedar Mustafar adalah wartawan yang tegas dan sangat mementingkan ketepatan fakta. Jika membaca blog Filem Klasik, dia berani menegur Aimi Jarr apabila yang ditulis tidak tepat faktanya walaupun kedua-dua mereka bersahabat.
Ikutkan fakta, Mustafar dan Aimi Jarr adalah rakan seperjuangan yang sama-sama di bawah bumbung Utusan Malaysia. Kedua-duanya juga tokoh penting di sebalik penganjuran Pesta Filem Malaysia yang pertama dan kedua (1980 dan 1981) anjuran EJA.
Bahkan pada era 1980-an mereka pernah memegang jawatan penting dalam persatuan, apabila Aimi Jarr menjadi Presiden EJA, manakala Mustafar Presiden PWFM.
Namun Mustafar tidak peduli sama ada Aimi Jarr tersinggung atau tidak. Baginya apa yang penting ialah, kesilapan fakta harus diperbetulkan agar generasi akan datang tidak terkeliru.
Betapa pentingnya ketepatan fakta, Mustafar mengambil masa sembilan tahun untuk menyiapkan buku 50 Tahun Filem Malaysia & Singapura (1930-1980). Buku itu dilancarkan Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, Rais Yatim pada Mac 2019.
Bekas setiausaha PWFM, Fariza Saidin, menyifatkan Mustafar seorang pengkritik filem jujur di sebalik teguran yang pedas dan ia tidak teragak-agak dibuat walaupun pengarah itu temannya.
“Tak ada siapa yang boleh mencabar pengetahuannya dalam filem klasik Melayu,” katanya.
Menurut Fariza lagi, Mustafar juga lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak kisah jika orang lain mendapat nama di sebalik usaha yang dikerjakannya itu berjaya.
Kepakaran orang lama ditagih
Saya memang tidak begitu rapat dengan Mustafar berbanding dengan Aimi Jarr dan Bahyah Mahmud. Namun pada 1988, saya 'ditarik' menjadi ahli PWFM dan sempat menghasilkan buletin Festival Filem Malaysia (FFM) pada ketika itu.
Hubungan saya dan Mustafar kemudian terputus sehinggalah menjelang FFM ke-22 pada 2009 apabila kami dipilih menjadi ahli jawatankuasa (AJK) Malam Bintang Lagenda sempena FFM ke-22 yang julung kali diadakan di Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu.
AJK lain termasuk Timbalan Ketua Pengarah Finas, Zulkifli Abd Wahab; bekas ketua pengarah Finas, Zain Hamzah; Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), M Daud Wahid; Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah; produser dan pengarah Deddy M Borhan dan Aimi Jarr.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Illiyas Ibrahim, pula dipilih sebagai pengerusi.
Seramai 36 artis veteran disenarai pendek termasuk dari Singapura dan Brunei diundang. Di situlah kepakaran Mustafar ditagih untuk memilih artis veteran yang tepat diberikan anugerah.
Prinsip Mustafar AR menulis fakta tepat selalu menjadi amalan saya. Sekitar 2018, sewaktu mahu menulis mengenai karyawan Studio Merdeka, saya pernah bertanya kepadanya mengenai sesuatu.
Biasanya maklumat itu boleh saja disampaikan melalui telefon namun tradisi orang lama yang lebih suka bersemuka untuk lebih mesra - dan mungkin mahu memastikan ketepatan fakta - dia mengajak saya berjumpa di tempat tinggalnya di Senawang.
Hasilnya banyak maklumat dapat dikutip sesuai dengan pengalaman panjang Mustafar membuat liputan di Studio Merdeka. Antaranya dia bercerita betapa sukar dan mencabarnya P Ramlee mengarahkan filem pertamanya, Si Tora Harimau Jadian, tanpa tenaga mahir.
Memandangkan L Krishnan dan Salleh Ghani terlebih dahulu bertugas di Studio Merdeka, kata Mustafar, P Ramlee meminta Salleh Ghani membantunya di lokasi.
“Saya ikut mereka shooting di Rawang, kelihatan bersama P Ramlee, ada Salleh Ghani. P Ramlee belum dapat menyesuaikan diri bekerja di Studio Merdeka kerana selama di Studio Jalan Ampas di Singapura, tenaga mahirnya ramai,” katanya.
Di sisi lain, kata Mustafar, tidak semua karyawan filem di Studio Merdeka ketika itu suka kalau wartawan datang membuat liputan.
Bagaimanapun dia memuji pengarah seperti Jamil Sulong dan Omar Rojik yang disifatkan berhemah melayan pihak akhbar.
Mustafar - atau Mustafar Abdul Rahim - yang dilahirkan di Kalumpang, Hulu Selangor pada 27 Ogos 1943 menghembuskan nafas terakhirnya pada 5 Mei lalu di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Allahyarham meninggalkan balu, Zaini Yusof, 76, dan empat anak iaitu tiga lelaki, satu perempuan berusia 41 hingga 51 tahun, serta 15 cucu dan dua cucu tiri.
Pada akhir hayatnya semangat Mustafar untuk terus menulis tidak pernah pudar. Dia dalam proses menulis buku riwayat hidup seniwati Maria Menado.
Mengikut perancangan asal, Mustafar mahu buku itu dilancarkan pada 2 Feb 2020 sempena ulang tahun kelahiran ke-88 tahun Maria Menado.
Takdirnya Mustafa pergi dahulu, Maria Menado pula kini mencecah usia 90 tahun.
Melihat dari sisi lain, rasanya amat malang apabila sehingga kini tiada sesiapa yang berusaha menulis kisah hidup seniwati besar seperti Maria Menado.
Justeru Finas mungkin boleh memikir-mikirkannya kerana jika penyanyi Nurul pun ada bukunya sendiri, Peribadi, Kerjaya Dan Masa Depan pada 2007, alangkah rugi malunya jika seniwati sehebatr Maria Menado itu tidak dipedulikan.
ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai