Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anak kelahiran Malaysia dapat hadiah Pulitzer

Wartawan Los Angeles Times Marcus Yam mendapat anugerah Pulitzer bagi kategori gambar terkini kejatuhan Kabul ke tangan Taliban tahun lalu.

Los Angeles Times melaporkan, anak kelahiran Malaysia itu mendapat pengiktirafan itu susulan gambar segeranya berkaitan pengunduran Amerika Syarikat dari Afghanistan yang menggambarkan “harga sebuah perubahan”.

Anugerah itu juga dinobatkan kepada empat jurugambar dari Getty Images yang membuat liputan serangan penyokong bekas presiden Donald Trump ke atas US Capitol pada 6 Jan 2021. 

Yam yang lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur menerima pendidikan dalam jurusan aeroangkasa di Universiti Buffalo dan menamatkan pengajian pada tahun 2006. 

Dia menceburi bidang fotografi dan mencuba nasib bersama LA Times pada 2014.

Ini merupakan kali ketiga jurugambar 38 tahun itu mendapat tempat dalam penganugerahan Pulitzer. 

Sebelum ini dia menjadi sebahagian daripada pasukan yang menang bagi kategori berita terkini.  

Pada tahun 2015, dia memenangi anugerah tersebut hasil gambar yang diambilnya ketika tragedi serangan pengganas San Bernardino, manakala tahun sebelumnya dia menerima anugerah itu selepas menjadi sebahagian dari pasukan pelapor Seattle Times ke atas bencana tanah runtuh di Oso, Washington.

Pada tahun 2019, Yam dijulang dengan Anugerah Kewartawanan Hak Asasi Manusia Robert F Kennedy kerana ketekunannya mendokumentasikan jerih-perih yang warga Palestin ketika konflik berdarah di Gaza.

Yam sebelum itu memenangi banyak lagi anugerag lain termasuk Anugerah Emmy dalam kategori berita dan dokumentari, Anugerah Gambar Berita Sedunia, Anugerah Dart untuk Liputan Trauma.