Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mira Filzah timang cahaya mata lelaki, berkongsi tarikh lahir

Mira Filzah selamat melahirkan bayi sulungnya hari ini kira-kira jam jam 3.40 pagi tadi. Ia menjadi lebih bermakna apabila kelahiran berkenaan - yang berlaku pada 9 Syawal - bersamaan dengan tarikh lahir pelakon berkenaan.

Berita gembira itu diumumkan oleh suami Mira, Wan Emir Astar, melalui sebuah hantaran di akaun Instagramnya.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT pencipta sekalian alam, serta selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

“Isteri syurgaku Nur Amirah Filzah Badioezaman selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu 9 Syawal, bersamaan 10 haribulan 5 tahun 2022 pada jam 3.40 pagi,” katanya.

Menurut Wan Emir, anak mereka dan isterinya berada dalam keadaan sihat.

“Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat walafiat.

“Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga.

“Moga segala kebaikan buat kalian semua juga,” tulisnya lagi di bahagian kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, hantaran berkenaan dibanjiri dengan ucapan dari netizen serta rakan-rakan selebriti.

Untuk rekod, Mira yang juga pelakon Pujaan Hati Kanda itu dan Wan Emir berkahwin pada 3 Sept 2020.

Pada awal kehamilan, umum sudah mula berteka-teki mengenai dirinya yang sedang hamil, namun Mira, 29, hanya mendedahkan berita gembira itu pada Jan lalu.

Pada ketika itu, usia kandungan aktres berkenaan hampir memasuki trimester ketiga.