Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lepas Wisma Putra 'sepi tanpa bicara' Ahmad Idham pun reda

WAWANCARA | Bekas Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata sehingga kini dia masih tertanya-tanya punca kontraknya ditamatkan.

Menganggap ia sebagai "sepi tanpa bicara" pelakon dan pengarah itu berkata, meskipun sangat berharap ada penjelasan diberikan Menteri Luar Saifuddin Abdullah, namun kini dia reda jika ahli politik terbabit mendiamkannya begitu saja.

Malah Ahmad Idham berkata mungkin Saifuddin perlu diberikan peluang menjawab isu pelantikan duta Malaysia yang turut melanda ahli parlimen Indera Mahkota itu.

“Hingga kini, isu saya ditamatkan kontrak sepi tanpa bicara, diam seribu bahasa. Namun, saya anggap move on (lupakan) sajalah.

“Biar menteri jawab isu berhubung pelantikan duta Malaysia, tu mungkin lebih penting untuk dia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu kontrak perkhidmatan Ahmad Idham di Wisma Putra berakhir secara mengejut hanya lima bulan selepas pelantikannya. Ia berlaku melalui satu notis yang berkuat kuasa serta-merta.

Turut menerima nasib sama ialah seorang lagi personaliti dunia seni, Eizlan Yusof, yang ditamatkan daripada jawatannnya sebagai perunding kreatif.

Dalam satu sidang media, Ahmad Idham dan Eizlan meminta bantuan petugas media untuk mendapatkan penjelasan daripada Saifuddin mengenai 'kekeliruan' yang berlaku itu.

Mereka juga berkata, dalam surat penamatan kontrak, tiada sebarang tunjuk sebab diberikan.

Penamatan kontrak serta-merta oleh Wisma Putra itu, kata mereka, memang diterima namun perlu juga diketahui alasan di sebalik keputusan mengejut tersebut.

Tepis segala persepsi negatif

Kini, Ahmad Idham yang sudah terbabit secara langsung dalam politik melalui Bersatu berkata, dia enggan berterusan bertelagah dengan Saifuddin berkaitan perkata tersebut.

Untuk rekod, Saifuddin kini merupakan salah seorang pemimpin kanan Bersatu.

Kata Ahmad Idham, biarlah dia saja mengetahui bagaimana pencapaiannya berkenaan khidmat dan bakti yang disumbangkan selama ini sebaik dilantik memegang jawatan berkenaan pada 1 Nov tahun lalu.

“Tak apa, perkara ni tak jejaskan saya pun. Tapi, bagi saya, dia 'berhutang' kepada industri seni, wartawan dan mereka yang mengenali saya berkenaan jawapan tersebut.

“Sebab mungkin ramai orang nampak bagaimana saya bekerja. Dan sekarang, saya dilantik pula sebagai Ketua Bersatu Cawangan Pinggiran Ukay di Ampang.

“Pelantikan itu sekali gus boleh menepis segala perspektif negatif mengenai saya sekiranya ada,” katanya lagi.