Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua Search, dua konsert Jun ini

Perpecahan kumpulan rock legenda tanah air Search mungkin memberi tuah kepada peminat.

Masakan tidak, Jun ini peminat berpeluang menyaksikan dua konsert kumpulan itu - satu yang menggunakan vokalis lama Amy dan satu lagi anggota baru dari Indonesia Denden Gonjalez.

Search versi Noordin, Kid, Yan, Minn dan Denden akan beraksi di atas bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada malam 11 Jun.

Sementara Search versi Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal pula akan beraksi di dewan konsert bertaraf dunia yang baru Zepp Kuala Lumpur pada 4 Jun–seminggu sebelum itu.

Amy hari ini mengumumkan konsert mereka yang dinamakan Konsert Endemik, yang menurutnya akan menjadi “konsert terbaik” mereka.

“Tempat ini ada semua kemudahan untuk sebuah konsert bertaraf antarangsa.

“Dan saya yakin peminbat kita, yang menyokong kita sejak awal juga peminat daripada generasi lebih muda, akan mendapat pengalaman kehebatan dan kualiti Konsert Endemik dari pelbagai segi,” dia dipetik sebagai berkata oleh Malay Mail.

Zepp Hall Network Inc hanya mempunya 11 dewan konsert di seluruh dunia, termasuk sembilan di Jepun dan masing-masing satu di Taiwan dan Kuala Lumpur.

Dewan di Kuala Lumpur adalah yang paling baru dibina.Sementara itu, satu lagi kumpulan Search yang akan beraksi di bumbung Kompleks Campbell menamakan persembahan mereka sebagai Rockin' On Rooftop.

Bukan lagu biasa

Pengarah projek konsert itu Yusrizan Yusof berkata ia itu dijangka mempersembahkan 14 hingga 17 lagu yang jarang dan tidak pernah dimainkan dalam konsert sebelum ini.

"Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal.

“Jadi, kali ini kita nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya  kepada Harian Metro.