MV ‘Kelepok Raya’: Aliff Syukri mohon maaf
Usahawan kosmetik sensasi, Aliff Syukri Kamarzaman membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas keterlanjurannya di dalam video muzik (MV) lagu Kelepok Raya.
Aliff juga turut meminta orang ramai tidak mengaitkan ahli keluarganya dalam kontroversi yang berlaku.
"Saya ingin memohon maaf pada semua masyarakat atas apa yang berlaku dan tolong jangan libatkan keluarga saya, isteri dan ibu saya.
"Kerana mereka tiada kena mengena dalam cerita ini," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.
Aliff berkata demikian selepas hadir ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cyberjaya awal hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu klip video muzik sempena Aldilfitri.
Terdahulu, SKMM dilaporkan akan memanggil individu terlibat dalam klip video muzik sempena Aidilfitri dikaitkan dengan usahawan kosmetik terbabit yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, pagi tadi.
Aliff tiba di perkarangan SKMM sekitar jam 9.58 pagi dengan berpakaian kot kelabu serta seluar panjang berwarna hitam dengan diiringi dua individu.
Difahamkan Aliff disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.
Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut yang dikatakan tidak sesuai untuk tontonan ramai lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.
Mengulas lanjut, Aliff berkata dia tidak dapat mengulas lanjut berhubung siasatan yang berlangsung hari ini dan meminta tempoh bertenang buat seketika.
"Bagi saya bertenang dulu," katanya.
Bagaimanapun, kata Aliff dia telah memberikan kerjasama yang baik kepada SKMM.
"Saya telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak SKMM untuk mereka menjalankan tugas dan bagi saya biarlah mereka menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya," katanya.
Tambah Aliff, dia juga turut berterima kasih atas perhatian yang diberikan semua pihak kepadanya dan berharap permohonan maafnya dapat diterima.
"Terima kasih atas perhatian anda semua dan saya mengharapkan kebaikan dan permohonan maaf saya ini diterima," katanya sayu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai