Tak salah 'pilih bulu' kalau pelakon memang cemerlang - Jaja
Budaya 'memilih bulu’ untuk menawarkan kerja kepada pelakon tidak salah sekiranya mereka yang terpilih itu mempunyai disiplin kerja yang bagus, kata penerbit drama Jaja Ishak.
Menurutnya, setiap individu yang menceburi bidang itu sewajarnya menitikberatkan komitmen yang sebaik mungkin agar mereka dilihat memiliki rekod prestasi yang meyakinkan.
“Saya tak nafikan sebagai penerbit, pasti akan ada favouritisme. Saya ada pelakon kegemaran saya sendiri.
"Saya memilih sebab ada segelintir pelakon yang memberikan masalah.
“Nak buat macam mana kalau ada pelakon yang berlakon pun sendu dan berlagak pula, dah tentu penerbit perlu membuat pilihan biarpun terpaksa memilih orang lain untuk menyiapkan sesebuah karya,” katanya.
Bagaimanapun, Jaja enggan mengulas siapakah pelakon yang dimaksudkannya itu.
“Cukup untuk saya beritahu kalau saya memilih dia, itu disebabkan cara kerja dan komitmen serius yang diberikan, jadi mudah urusan kami bekerja bersama,” katanya.
Terdahulu, timbul cakap-cakap belakang dalam kalangan pelakon yang mendakwa terdapat segelintir penerbit memilih artis tertentu saja hingga menyukarkan pelakon lain mendapat tawaran.
Jaja berkata demikian semasa ditemui dalam sebuah majlis berbuka puasa bersama media di Bukit Kiara, baru-baru ini.
Pada masa sama, menjawab isu sama ada industri seni kekurangan pelakon memandangkan terdapat syarikat produksi yang kerap melakukan sesi uji bakat, Jaja berkata, ia disebabkan sesi penggambaran dijalankan serentak.
Katanya, ramai pelakon tidak dapat memberi komitmen pada masa yang serentak selepas industri perfileman kembali rancak ekoran dua tahun berdepan kekangan Covid-19.
“Sekarang ni terlalu banyak penggambaran. Seorang pelakon pula tak boleh nak terima dua tawaran serentak. Maka berlakulah kekurangan pekerja.
“Jadi memang kita perlu adakan sesi uji bakat untuk cari pelapis baru sebab sampai bila nak harapkan hero atau heroin yang sama saja," katanya.
Menurut Jaja dunia seni perfileman memang memerlukan perubahan dan baginya ia adalah inisiatif yang baik kerana secara tak langsung menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan muka-muka baru.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai