Dakwaan hina nabi: Kumpulan penulis harap M’sia ikut standard antarabangsa
Kumpulan penulis prokebebasan bersuara PEN Antarabangsa menyeru kerajaan Malaysia menjalankan siasatan saksama dan konsisten dengan standard antarabangsanya berhubung hak kebebasan bersuara.
Seorang pemimpinnya Ma Thida–yang memantau penahanan penulis di seluruh dunia–menyatakan kebimbangan susulan penahanan penulis Uthaya Sankar SB, baru-baru ini.
Uthaya dilokap semalaman kerana didakwa menghina Nabi Muhammad di media sosial ketika mengulas isu poligami.
"Penangkapan Uthaya Sankar SB yang memuat naik hantaran di media sosialnya menyerlahkan had kebebasan bersuara di Malaysia dalam isu seperti agama,” katanya dalam kenyataan.
Thida yang juga penulis Myanmar berkata, walaupun pihak berkuasa berniat baik, penggunaan “undang-undang menghina agama” tidak membantu menggalakkan dialog dan persefahaman.
Sedangkan, katanya, perkata itu merupakan prinsip utama untuk menggalakkan keharmonian agama dalam mana-mana masyarakat.
"Kerajaan Malaysia mesti mematuhi kewajipannya untuk menegakkan hak kebebasan bersuara, walaupun kadang-kadang kata-kata yang diungkapkan mungkin tidak selesa kepada sesetengah pihak," katanya.
Pada 12 April lalu, Uthaya bermalam di lokap ibu pejabat polis daerah Dang Wangi susulan hantaran yang di media sosialnya pada 7 April lalu yang didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Dia disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (menyebabkan suasanan tidak harmoni atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).
Dia dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan perintah reman empat hari. Bagaimanapun, telefon bimbitnya masih dirampas.
Setakat kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata siasatan masih dijalankan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai