Boleh tarik suara atau tidak bukan penentu kualiti penyanyi - Azlan
Bagi vokalis kupulan Azlan & The Typewriter, isu seseorang penyanyi tidak mampu menarik suara bukan penentu kualiti seseorang sebagai penghibur.
Lebih daripada itu, kata Azlan, dia juga yakin suara seseorang bukanlah hak milik individu terbabit sebaliknya sekadar 'pinjaman'.
“Suara tinggi atau suara rendah, saya rasa tak ada kena-mengena. Cuba lihat pada penyanyi legenda P Ramlee, allahyarham menyanyi tak perlu menjerit-jerit pun.
“Suara ni bukanlah hak kita, selagi dipinjamkan, selagi boleh menyanyi, kita jalanlah (teruskan karier sebagai penyanyi),” katanya.
Pemilik nama penuh Nor Azlan Rosle Sallehudin itu bagaimanapun berkata, dia pernah terfikir bagaimana sekiranya suatu hari nanti, dia juga tidak dapat membawakan lagu-lagu bernada tinggi lagi.
Untuk itu, jelas Azlan, 40, dia sudah bersiap siaga dengan segala kemungkinan.
“Situasi seperti tu mungkin boleh berlaku pada saya. Tapi senang saja, kalau dah tak boleh menyanyi seperti dulu, saya turunkan nada tinggi atau pasang strategi lain seperti mengubah lagu serta menerbitkan telemovie.
“Tapi saya rasa kalau menyanyi tanpa jeritan mungkin aneh. Jeritan tu sebenarnya membuatkan saya selesa,” katanya.
Penyanyi itu berkata demikian di majlis berbuka puasa dan penganugerahan platinum award lagu Azlan & The Typewriter di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, isu penyanyi rock Amy Search didakwa sudah tidak boleh menarik suara tinggi mengundang perhatian apabila dia dilihat beberapa kali menyua mifkrofon kepada penonton sewaktu mengadakan persembahan pentas.
Malaysiakini juga sebelum ini melaporkan penyanyi dan komposer M Nasir berkata, kredibiliti seseorang penyanyi mulai merudum seawal usia 40-an.
Pernah gemar bereksperimen
Justeru katanya, seseorang penyanyi wajar mempraktikkan latihan nyanyian yang betul dari muda serta walaupun di waktu ketiadaan persembahan.
Pada masa sama Azlan berkata, dengan adanya studio mini yang dibina di kediamannya, ia membantu dia meluangkan masa untuk mengadakan latihan nyanyian pada waktu senggang.
Mengulas kejayaannya menerima Anugerah Platinum oleh Indigital Music kepada Azlan & Typewriter berdasarkan jualan Jangan Khianati Aku yang memperolehi lebih RM300,000, Azlan berkata, dia sungguh teruja.
Menurutnya, ini kali pertama dia menerima anugerah sedemikian sepanjang berkecimpung dalam industri muzik tanah air.
“Saya gembira, ia bagaikan mimpi. Kalau ditanya sama ada takut atau tidak dengan masa depan saya dalam industri, ini adalah jawapannya,” katanya.
Untuk rekod, sejak dilancarkan pada Okt 2019 lagu tersebut masih menjadi antara lagu paling tinggi distrim oleh pendengar.
Kata Azlan, sebelum ini dia terlalu gemar bereksperimen untuk kepuasan sendiri yang mungkin membuatkan banyak pihak mungkin tidak faham hasil kerjanya.
“Saya rasakan, kejayaan ni sebagai satu permulaan yang baik pada tahun ni untuk saya,” tuturnya yang semakin pulih dari kecederaan kaki akibat riadah di kawasan hutan dekat Semenyih tahun lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai