'Dendam' Zarul untuk lagu kerohanian tertunai akhirnya
Buat pertama kali, sempena bulan Ramadan Zarul Umbrella muncul dengan dengan buah tangan kerohanian berjudul Syuhud Qalbu, iaitu lagu duet bersama bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris.
Penyanyi dan pelakon itu berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu kerohanian sejak kembali aktif dalam bidang nyanyian.
Menurut Zarul, rezeki akhirnya hadir tanpa disangka-sangka apabila Fitri mempelawanya untuk menghasilkan sebuah lagu bersama sekitar sebulan sebelum kehadiran bulan mulia berkenaan.
“Ramai penyanyi lain mengeluarkan lagu raya, jadi saya mahu sesuatu yang berbeza.
“Setiap hari saya berdoa kepada Allah agar diberi rezeki yang tidak disangka-sangka dan Dia memang Maha Mendengar doa hamba-Nya.
"Pada suatu hari saya dihubungi oleh Fitri yang mengajak saya untuk berduet dalam sebuah lagu,” kongsi Zarul.
Syuhud Qalbu yang dicipta komposer, Azmeer membawa maksud pandangan hati dan mengesakan pandangan Allah.
Menurut pemilik nama penuh Zairulkefli Husin itu, Syuhud Qalbu - jika dihayati - mampu membuatkan orang yang mendengarnya menangis.
“Jika ada peluang saya akan keluarkan single kerohanian setiap tahun.
“Namun, jika ada rezeki tidak perlu tunggu bulan Ramadan. Apa kata setiap kali keluarkan single saya tukar lagu-lagu cinta kepada cinta kepada Allah. Sebab cinta itu bersifat universal dan boleh diterjemahkan mengikut tafsiran masing-masing,” ujar Zarul.
Dalam perkembangan lain, Zarul turut dilantik sebagai felo MEATECH pada majlis pelancaran program-program diploma dalam industri penerbangan sempena kempen kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang, YEG Academy di Johor Bahru baru-baru ini.
Menerusi kempen tersebut, YEG Academy yang berkerjasama dengan Pusat Latihan Teknikal MEATECH sejak 2018 menawarkan pelbagai diploma dalam bidang penerbangan.
“Saya dilantik sebagai felo MEATECH selama setahun berdasarkan pengalaman selama 16 tahun sebagai pramugara Malaysia Airlines selain saya sering berkongsi cerita dunia penerbangan di saluran YouTube.
“Tugas saya adalah berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri penerbangan.
“Industri penerbangan bukan sekadar juruterbang, pramugara, pramugari dan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang, sebaliknya sangat luas termasuklah industri kargo dan karier dalam perkhidmatan pengendalian darat yang bukan hanya ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai