'Dia legenda hidup, wira tak didendang' - Annuar harap Mat Sentol diiktiraf
Tertarik dengan video yang mengisahkan pengalaman dan kehidupan legenda filem Melayu Mat Sentol, Menteri komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkunjung ke kediaman pelakon dan pengarah filem yang disegani itu di kediamannya di Johor Bahru hari ini.
Menerusi rakaman di Facebook Annuar, ahli Parlimen Ketereh itu bertanya khabar dan berbual mesra bersama Mat Sentol yang sekali-sekala berseloroh sepanjang perbualan mereka.
Kemas dengan baju bercorak batik berwarna hijau bersama topi fedora yang sinonim dengan imejnya, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rashid Yahya sempat membuat adegan suara iklan televisyen bagi produk kanak-kanak Tora.
Sememangnya suara dialah yang melatari iklan tersebut yang cukup dikenali kalangan yang membesar pada era 1990-an.
Meskipun sudah berusia 89 tahun, menurut anak lelaki Mat Sentol, Rosli Rashid yang turut bersama dalam pertemuan tadi, bapanya masih dalam keadaan sihat walafiat.
Ketika dikunjungi, bintang filem Mat Tiga Suku, Mat Bond dan Mat Raja Kapor itu tidak banyak bercakap, tetapi dia masih mampu menjawab soalan yang ditanya dengan baik.
“This is a living legend. Maka betullah orang kata the unsung hero kerana orang lain dapat gelaran Tan Sri, Datuk.
“Kadang-kadang dia macam tertinggal. Tapi sebenarnya ini salah satu hero pembikinan filem Melayu.
“Jadi saya minta Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) mengambil langkah-langkah tertentu untuk menempatkan Abang Mat (Mat Sentol) pada kedudukan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita yang turut menyertai pertemuan itu.
Bercerita mengenai kunjungannya itu, Annuar berkata dia terdetik untuk melawat Mat Sentol selepas menonton satu video mengenainya yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar dari sebuah universiti swasta tempatan.
“Karya generasi muda telah mencungkil sejarah bagaimana seorang seniman yang juga seorang karyawan, pelakon dan pelawak,” katanya.
Katanya, terdapat banyak fakta-fakta yang baru diketahuinya menerusi filem pendek itu.
“Jadi pasal tulah saya tanya khabar Abang Mat, (katanya) ada, sihat di Johor Bahru.
“Sebab itu saya teringin sekali nak datang jumpa sendiri bertemu mata dengan Abang Mat,” katanya.
Dia turut meminta Mat Sentol menulis beberapa nota dan pesanan ringkas untuk industri perfileman negara di atas sehelai kertas A4 putih untuk dibingkaikan.
Pada masa sama, Annuar turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada pelakon veteran itu.
“Saya bagi pihak kementerian menyampaikan secara peribadi ucapan penghargaan negara kepada beliau yang ternyata sekali antara pengasas industri perfileman dalam negara kita.
“Beliau masih lagi sihat walafiat untuk memberikan sedikit sebanyak nasihat dan aspirasi beliau terhadap perjalanan perfileman negara pada masa ini,” katanya.
Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mendakwa Mat Sentol dalam keadaan tenat dan sedang uzur.
Namun perkara itu dinafikan Rosli menerusi laporan Berita Harian pada April tahun lalu. Menurutnya, bapanya tidak pernah terlantar tetapi mengalami sakit tua yang biasa.
‘Saya masih larat berpuasa’
Dalam pada itu, Mat Sentol dalam pertemuan hari ini berkata kesihatannya masih baik dan mampu berjalan - meskipun dengan menggunakan tongkat - untuk ke bazar Ramadan.
“Masih belum cukup tua, ramai lagi yang tua dan gagah berpuasa. Alhamdulillah saya masih mampu berpuasa," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai