Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ambil proposal yang dah lulus - PTVM

Sesi saringan perolehan (pitching) kendalian RTM boleh dipermudahkan jika pihak terbabit mengambil proposal yang sudah diluluskan pada tahun lalu.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Rosli berkata, dengan mengambil proposal yang telah lulus, sesi pitching akan menjadi lebih cepat serta menjimatkan wang kerajaan.

“Ia kerana tidak perlu lagi diadakan sesi pitching yang memerlukan kehadiran panel-panel penilai, peserta dan beberapa proses lagi yang memakan masa dan wang. 

“Dikabarkan ada banyak proposal yang melepasi pemarkahan dan layak untuk diangkat sejak dari sesi tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa meminta penerbit televisyen (TV) bertahan sebelum sesi saringan perolehan (pitching) baru dapat diadakan.

Annuar Musa

Annuar berkata, pihak penerbit TV perlu bersabar menantikan peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) kerana RTM sudah kehabisan bajet untuk tahun ini. 

Menurutnya, isu kekangan bajet timbul selepas dia meluluskan lebih 200 tajuk pada sesi pitching Oktober tahun lalu menggunakan peruntukan 2022.

Bagaimanapun, katanya lagi, kementerian akan cuba mencari jalan penyelesaian agar dapat membantu golongan penerbit dengan mengadakan sesi itu antara Mei dan Jun atau sebelum akhir tahun.

Mengulas perkara itu, Jurey berkata, PTVM  menyambut baik pengumuman bahawa sesi pitching akan diadakan dalam masa terdekat.

“Inisiatif itu akan memberi peluang pekerjaan kepada syarikat-syarikat produksi yang telah lama menunggu atau gagal mendapat tawaran pada Sesi 1 Oktober tahun lalu,” katanya.

Menurut Jurey, perkara tersebut juga telah diminitkan dalam mesyuarat libat urus antara PTVM dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Mohammad Mentek, serta wakil dari RTM, FINAS dan MyCreative Venture semalam.

“Datuk Seri KSU berkata; bahawa dia mahukan sesi pitching ini berlaku dua ke tiga kali setahun. 

“Ini akan memberi peluang kepada lebih ramai penggiat industri untuk terus bekerja, berusaha dan berkarya. 

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg Datuk Seri KSU kerana keprihatinannya dan sentiasa mendengar keluhan kami,” katanya.