Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi simpati nasib penerbit TV, tapi....

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa meminta penerbit televisyen (TV) bertahan sebelum sesi saringan perolehan (pitching) baru dapat diadakan.

Annuar berkata, pihak penerbit TV perlu bersabar menantikan peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) kerana RTM sudah kehabisan bajet untuk tahun ini.

“Kami faham golongan penerbit ramai bergantung pada kandungan yang hendak dijual kepada RTM agar mereka dapat terus bertahan.

“Dan sekiranya tak ada pitching, mereka seolah-olah tiada pekerjaan dan hilang sumber pendapatan, itu pun kami faham. Tapi kami bergantung pada peruntukan MOF,” katanya pada majlis Iftar Rumah Prihatin, kelmarin.

Annuar Musa

Annuar berkata, isu kekangan bajet timbul selepas dia meluluskan lebih 200 tajuk pada sesi pitching Oktober tahun lalu menggunakan peruntukan 2022.

Menurutnya, syarikat produksi yang berjaya pada sesi saringan itu adalah syarikat yang tersadai hampir dua tahun disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, lebih 200 tajuk untuk pitching tersadai. Bermaksud saya ambil keputusan menganugerahkan lebih 200 judul yang tersadai menggunakan bajet tahun ni. 

“Jadi, segala peruntukan yang ada tahun ni dah habis. Bagaimanapun, kami akan cuba cari jalan penyelesaian agar dapat membantu golongan penerbit dengan mengadakan sesi itu antara Mei dan Jun atau sebelum akhir tahun.

“Namun, saya tak berani berjanji bila sesi pitching seterusnya dapat dilaksanakan kerana semuanya bergantung kepada bajet,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya turut berasa bimbang apabila ada lambakan judul sedangkan ada penerbit memohon kementerian supaya tidak mengadakan sesi pitching yang baru.

Menurutnya, komplikasi yang timbul adalah daripada sudut kandungan, ia akan menjadi ketinggalan untuk dipersembahkan kepada penonton.

“Ia sekali gus tak relevan untuk dihidangkan kepada penonton.

“Kami ingin bantu semua penerbit, tapi pada masa sama, kami juga harus menjaga kualiti dan nama RTM,” katanya.