Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Pok Ya Cong Codei dan realiti gedebe B40

ULASAN SENI | Sabri Yunus tergelak apabila saya katakan yang Pok Ya Cong Codei itu adalah gedebe B40 yang jarang difilemkan sebelum ini.

Penonton filem dan drama tempatan lebih akrab dengan dunia korporat selepas era Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kaya dengan skandal, rasuah, cinta, air mata, kisah artis, bohsia, penunggang agama, samseng dan pembunuhan.

Jarang isu sebenar masyarakat gedebe yang berdepan realiti harian diketengahkan.  

Sabri  mengangkat 'kawan-kawan' gedebenya sejak 2018 menjadi fenomena baru dalam penerbitan telefilem tempatan.  

Pok Ya Cong Codei dan Pok Ya Cong Codei: Siti Di Hati tular di media sosial kerana keluarbiasaan tema penceritaan. Kini drama 16 siri Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti sedang ditayangkan.  

Pok Ya ialah lelaki yang kelihatan ganas, bengis dan samseng tapi karektornya melucukan. Dia baik dan bersedekah semasa Ramadan tapi cepat tangan apabila ada sesuatu yang merendahkan ego kemanusiaan.

Dia kelihatan cerdik dalam kalangan rakan-rakan tetapi pandir apabila di luar lingkungan sendiri. Dia sudah tua tetapi terlupa ketuaannya.

Tak seperti difahami sesetengah pihak

Seorang gedebe berusia 60-an dari Kelantan ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari anak gadis seorang peguam yang 'dilarikan'. Pok Ya terpaksa mengumpui kawan-kawan gedebe asal Kelantan di Kuala Lumpur kerana dia terlalu  asing di kota besar itu.

Dia berjaya mencari yang hilang di Kuala Lumpir, tetapi apabila pulang ke Kelantan, isterinya - Siti - hilang dilarikan orang.

Episod kerinduan dunia berumahtangga selepas hilang isteri menyerlahkan watak sebenar Pok Ya.

Dia kembali ke Kuala Lumpur mencari Siti yang dilarikan Mail Beris. Memang Pok Ya sudah kahwin dan cerai dengan sembilan wanita sebelum itu, namun Siti tetap di hatinya kerana wanita itu diyakini hamil anak lelaki yang akan meneruskan zuriat gedebe Pok Ya.

Bagi masyarakat Kelantan, gedebe tidak semestinya samseng, bengis dan kurang ajar seperti difahami sesetengah pihak.

Gedebe adalah watak santun dan dihormati masyarakat setempat. Bagi penduduk selatan Thailand terutamanya Narathiwat dan Yala,  gedebe dikaitkan seseorang yang rajin bekerja dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Gedebe dikaitkan dengan tok nebe yang bermaksud ketua atau penghulu di sesuatu kawasan.

Masyarakat Melayu Kelantan ada kaitan dengan sejarah dan persaudaraan penduduk di selatan Thailand. Warisan budaya, bahasa dan cara berfikir mereka tidak jauh berbeza.

Ramai yang bersaudara dengan penduduk di 14 wilayah di selatan Thailand terutama Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun.

Terpinggir dari pembangunan

Pada abad ke-18 penduduk di dua negara berbeza itu tetap saling berkunjungan seolah-olah di antara mereka tiada sempadan yang memisahkan.

Penjajah yang berada di Tanah Melayu tidak mengganggu urusan di sempadan kerana yakin Raja Siam hanya mahu mengekalkan kerajaan Thailand yang bebas.

Melayu Kelantan dan Melayu Thailand bukan sekadar berkongsi darah dan warisan, tetapi juga tingkah laku dan sejarah perjuangan serta penentangan yang panjang.

Pascaperang Dingin, gerila Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (Pulo) menjadi kumpulan pemberontak terbesar di selatan Thailand. Mereka disokong penduduk setempat yang berasa terpinggir daripada arus pembangunan dan pendidikan.

Kehidupan sukar menjadikan mereka mandiri dan aktif di sempadan Kelantan yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok. Hubungan tradisi menjadikan gedebe itu survival.

Rakyat dua negara membentuk masyarakat yang tekun dan berani menentang penindasan.

Penduduk selatan Thailand ditindas oleh pemerintah yang bukan Islam; di Kelantan pula ada yang mendakwa ditindas oleh kerajaan pusat yang menafikan hak dan nikmat pembangunan.

Keadaan itu menjadikan kawasan sempadan dihuni oleh golongan berpendapatan rendah.  

Orang miskin dalam konteks Malaysia dikaitkan golongan B40. Kumpulan itu memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu tidak sampai RM2,208 sebulan.

Justeru kerana kemiskinan, tentunya cara hidup dan budaya harian B40 berbeza golongan M40 dan T20.

Sebahagian besar watak dan perwatakan di sekeliling Pok Ya adalah golongan B40. Cara mereka berfikir, bertindak dan mengeluarkan pendapat tidak jauh daripada realiti sosial.

Kerja menarik kenderaan, jaga kawasan proses pasir, pengawal peribadi kepada tauke karaoke yang mengumpul gadis sebagai pelayan adalah yang hakikat tersirat di sebalik nasib golongan marhaen.

Memang Malaysia sudah lama merdeka dan memiliki deretan pencakar langit serta kondominium mewah yang melatari perjuangan Pok Ya di Kuala Lumpur.

Angkat realiti masyarakat

Namun di sebalik tembok-tembok tebal ada ramai golongan gedebe yang mencuba nasib dalam kepesatan dan kepantasan kota raya.

Pok Ya lahir dan membesar dalam kalangan orang yang bukan saja berani hidup tetapi berani mati. Dia tekun, tabah dan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan.  

Orang yang betul-betul gedebe ialah orang yang biasanya bercakap dalam bahasa yang sangat santun, sentiasa beradik abang dengan lawan cakapnya, selalu minta jalan apabila lalu di hadapan orang, sering minta maaf walaupun tidak salah.

Mereka garang tapi bukan sembarangan. Mereka itu cukup tertib cara cakapnya, sembangnya tak keterlaluan, gelaknya tidaklah mengilai.

Mereka tahu mereka bengis, sebab itu mereka tak akan membuat orang menangis. Mereka sensitif, sebab itu mereka tidak akan membuat orang merintih.

Bergaduh tidak sekali, apabila minum tidak segan mempelawa dibayar habis satu meja.

Aktivis teater Dinsman dalam kolum Tekad Budaya akhbar Amanah pada 4 Mac 2018 menyatakan: “…Pok Ya lakonan Sabri bukan gedebe sebarang gedebe tetapi itulah manusia gedebe yang dihormati dan disanjungi rakyat Kelantan. Gagah, berani, keras tetapi di dalamnya ada kelembutan dan kasih sayang. Ada kelebihannya dan ada kekurangannya.

“Dan Sabri secara sedar memilih rakyat dan budaya Kelantan sebagai bahan utama penceritaan filem-filemnya (saya sebut filem sahaja walaupun kategorinya ialah drama tivi). Di sini saya melihat dan membandingkan kesenimanan Sabri  dengan kesenimanan para sasterawan yang bercerita dan mengangkat realiti masyarakat ke dalam karya sastera – novel dan cerpen.”

Sikap humor yang ada pada Sabri selaku pengarah dan penulis skrip adalah menghimpun gedebe 'tua' dalam 16 episod yang tentunya mencuit hati. Kita tergelak dengan telatah Sabri (Pok Ya),  Adam Corrie (Tiger Chong), Ku Hanafi Ku Harun (Nasir Badak),  Asrulfaizal Kamaruzaman (Jering), Eman Manan  (Muda Primula), Ladin Nuawi (Pok Din), Saidi Sabri (Halim Kampung Pasir) dan Wan Hanafi Su (Pok Mat Kertok).      

Ketika kita leka dengan loghat Kelantan, Eman Manan menjerkah loghat Terengganu: "Wat tubik habih mende hok ade dalam rumahmu.. lembing, tombak, parang, golok, keris.. kalu ada pistoI wat tubik pistoI.”

Sejak Pok Ya Cong Codei muncul empat tahun lepas, tiada siapa menyangka ia akan menjadi suatu karakter yang terpahat di hati rakyat Malaysia. Karakter utama itu tular dalam kalangan warganet sehinggakan ramai  terpanggil untuk menghasilkan lukisan Pok Ya.

Karya-karya peminat Pok Ya  dikumpul lalu dibukukan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan judul Pok Ya Cong Codei (Kompilasi Fan Art).

Selain lukisan, memorabilia dalam bentuk kemeja- T dengan wajah Pok Ya  turut dihasilkan untuk dimiliki oleh peminat filem ini.

Ketika peminat filem tempatan disogokkan watak samseng yang entah apa-apa, Pok Ya Cong Codei memberi kelainan yang luar biasa.

Pengarah tersohor, U-Wei Haji Saari, mengakui Pok Ya Cong Codei adalah sebuah karya yang tidak dibuat-buat.

Ia juga telah memberi nafas baru bagi drama tempatan. Berbanding filem cinta dengan latar belakang hidup yang mewah, karya Sabri dirasakan lebih dekat dengan penonton sambil berpijak di bumi nyata.

Gedebe B40 dalam karya itu amat mencuit apatah lagi ketika memandu kereta lama seperti Mercedes Masterpiece, Perodua Viva dan Myvy edisi pertama!


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan dan sasterawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.