Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bruce Willis terselamat dari disindir kerana lakonan buruk

Penganjur anugerah Razzie - sebuah pengiktirafan kepada penggiat filem terburuk setiap tahun - membatalkan ‘pengiktirafan’ diberikan kepada Bruce Willis susulan pendedahan masalah kesihatan aktor terbabit.

Penganjur bersama anugerah itu, John JB Wilson dan Mo Murphy, berkata adalah tidak wajar untuk memberikan ia kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan kerana ia mungkin menjadi penyumbang kepada buruknya lakonan mereka.

Menurut Wilson dan Murphy, keputusan itu dibuat selepas melalui perbincangan dan pertimbangan sewajarnya.

“Jika keadaan kesihatan seseorang adalah faktor yang membuatkan prestasi mereka buruk, tidak wajar untuk memberikan mereka Razzie,” katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, keluarga Willis mendedahkan pelakon itu menghidap aphasia, sejenis keadaan yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk berkomunikasi, menulis dan memahami bahasa sama ada secara bertulis atau verbal.

Ia biasanya berlaku selepas kecederaan kepala atau selepas serangan strok.

Keadaan itu juga menyebabkan Willis, 67, terpaksa mengambil keputusan untuk bersara daripada dunia lakonan.

Willis tercalon dalam kategorinya sendiri, iaitu Persembahan Bruce Willis Terburuk Pada 2021.

Sementara itu daripada lapan filem yang dicalonkan, Cosmic Sin arahan Edward Drake dipilih sebagai penerima. Filem lain yang tercalon termasuklah American Siege, Apex, Deadlock dan Out Of Death.

Penerima anugerah Razzie tahun ini juga dikenali sebagai Anugerah Raspberi Emas, diumumkan pada 26 Mac lalu.

Willis memulakan kariernya pada tahun 1980-an dan membintangi filem pecah panggung seperti Die Hard, Pulp Fiction dan Sixth Sense.