Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bedah siasat kedua temui 22 kesan luka pada kaki Tangmo

Bedah siasat kali kedua menunjukkan terdapat 22 kesan luka pada kedua-dua kaki mendiang Nida “Tangmo” Patcharaveerapong yang terjatuh ke dalam sungai bulan lalu.

Hasil dapatan itu disahkan Pusat Ilmu Forensik Hospital Universiti Thammasat (CIFS) di Bangkok, sekali gus menjawab 11 keraguan dibangkitkan ibu Tangmo, Panida Siriyuthayothin.

Bagaimanapun, dapatan itu tidak menemukan sebarang kesan patah pada gigi patah, tulang retak atau luka pada muka serta kepala mendiang.

Setiausaha menteri kehakiman, Thanakrit Chit-areerat, berkata bahawa CIFS telah memberi maklum balas terhadap hampir semua isu dibangkitkan Panida.

Namun, katanya, hanya beberapa isu masih tidak dapat diselesaikan gara-gara keadaan jasad Tangmo.

Menurutnya, kebanyakan penemuan berkait rapat dengan persoalan berbangkit telah ditujukan secara bertulis kepada ibu mendiang.

Thai PBS World melaporkan, Kementerian Kehakiman juga mendapat persetujuan peguam Panida untuk mendedahkan beberapa hasil laporan autopsi kepada media.

Dihantar kepada ibu Tangmo

Pelakon berusia 37 tahun itu terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya pada 24 Feb lalu ketika menaiki bot laju persendirian bersama rakan-rakannya dan lemas.

Kes terbabit menarik perhatian banyak pihak termasuk di negara lain terutamanya mengenai keadaan misteri aktres itu sebelum kematiannya dan keterangan bercanggah oleh rakan-rakannya sekali gus menyebabkan mereka disyaki melakukan kesalahan.

Timbalan Pengarah CIFS, Prof Madya Dr Worawee Waiyawuth, menegaskan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Institut Perubatan Forensik (IFM) Hospital Besar Polis Thailand adalah mengikut standard yang sepatutnya.

Bagaimanapun, katanya, bedah siasat kedua memfokuskan kepada 11 perkara yang dibangkitkan oleh ibu si mati.

Pengarah CIFS Songsak Raksaksakul berkata bahawa bedah siasat kedua adalah bermanfaat kerana ia menjawab kepada kebanyakan syak wasangka ibu Tangmo.

Katanya, laporan bedah siasat telah dihantar kepada ibu Tangmo, tetapi polis boleh menggunakan kuasanya di bawah undang-undang untuk meminta laporan itu.

Hasil bedah siasat kedua dilakukan menemui:

• Tiada kesan luka di kepala
• Tiada luka ditemui di muka
• Tiada luka di leher yang mungkin menunjukkan kesan cekikan
• Luka melecur di dada diperiksa
• Laporan mengenai 22 luka pada kedua-dua kaki dan luka pada sendi telah dibuat
• Tiada luka ditemui pada bahagian belakang tubuh si mati
• Laporan pemeriksaan pada trakea dan kemaluan si mati telah dibuat
• Kuku jari dipotong untuk pemeriksaan semula
• Pakaian yang dipakai oleh si mati semasa bedah siasat kedua adalah berbeza daripada pakaian yang dipakai pada hari kematiannya.

Peguam, Decha Kittivittayanan, yang hadir pada sidang media itu berkata dia akan berunding dengan polis yang mengendalikan kes mengenai penemuan bedah siasat, sama ada ia berguna kepada kes itu atau tidak.

Dia turut menambah keputusan bedah siasat kedua tidak mengandungi perbezaan signifikan berbanding hasil autopsi pertama, kecuali 22 luka kecil yang ditemui di kaki, yang akan dirujuk pada pakar forensik.