Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Azhan harap masih ada orang budiman mahu derma darah

“Sasaran 40 beg darah, tapi yang sudi sumbang hanya seorang penderma,” kata Azhan Rani meluahkan rasanya mengenai sambutan Kempen Derma Darah di Hospital Selayang hari ini.

Walaupun tidak meletakkan jangkaan yang tinggi, seboleh-bolehnya pelakon itu berharap situasi berkenaan akan berubah di Pusat Darah Negara di Jalan Tun Razak pada pada 2 April ini.

Kata Azhar dia memohon agar ada orang ramai tampil menderma pada Program Menderma Darah Bersama Azhan Rani yang bakal diadakan pada jam 11 hari tersebut.

Katanya sebelum ini memang usaha yang pernah diuar-uarkannya tidak mendapat sambutan.

“Bila aku minta orang bantu kongsikan maklumat pun tak pernah ada sambutan. Jadi aku sendiri kena bersedia mungkin untuk kempen ni aku tak boleh harapkan ramai akan turun (hadir).

“Tapi aku tak akan berhenti. Pada 2 hari bulan ni, aku tetap akan ada di sana,” katanya.

Mengiringi kenyataan di media sosial itu ialah hantaran dibuat akaun Instagram Pusat Darah Negara dan beberapa imej lain yang diulang siar olehnya.

Antaranya, imej satu beg bekalan darah berserta situasi lenggang di Lobi Utama Hospital Selayang iaitu tempat kempen derma darah yang sedang berlangsung ketika ini.

Program itu diadakan selama dua hari sehingga esok.

Bagaimanapun, pelakon drama bersiri popular Nur itu berkata, dia tidak boleh menderma darah ekoran belum cukup enam bulan dari tarikh menjalani pembedahan pada Jan lalu.

Untuk rekod, Azhan, 46, pernah menjalani pembedahan susulan kecederaan dialami akibat terbabit kemalangan motosikal di Rawang dan mengalami kecederaan pecah tulang belikat serta tulang bahu serta rusuknya retak.

Ketika kejadian itu Azhan dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Dia berlanggar dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

Sekali lagi Azhan meletakkan sedikit harapan agar kempen derma darah di Pusat Darah Negara itu nanti mendapat sambutan kerana dia percaya “masih ada mereka yang budiman.”

“Aku percaya masih ada mereka yang budiman.

“Saat susah memang kita tak boleh nak bantu siapa-siapa. Tapi sementara dipinjamkan nikmat kesihatan ni aku percaya ada sesuatu yang baik yang masih boleh kita lakukan,” katanya.